Home English News SJK (Tamil) Tun Dr Ismail Simpang Rengam dibuka dalam tempoh terdekat

SJK (Tamil) Tun Dr Ismail Simpang Rengam dibuka dalam tempoh terdekat

1126
0
SHARE
Ad

ISKANDAR PUTERI — Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Dr Ismail Simpang Renggam, Kluang yang didapati gagal beroperasi sebelum ini akan dibuka dalam tempoh terdekat.

Ini berikutan isu ketiadaan Sijil Perakuan Siap (CCC) yang dihadapi oleh sekolah itu telah berjaya diselesaikan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Isu ini isu kontraktor lama oleh kerajaan lama. Mereka telah meninggalkan beban kepada kita, namun, Allhamdullilah, kita telah berjaya selesaikannya.

#TamilSchoolmychoice

“Oleh itu, kita minta supaya ibu bapa bersabar. Nanti, tak lama lagi, kita akan dapat lihat pelajar-pelajar masuk dan pengumuman akan dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Maszlee berkata selain sekolah itu, pihaknya juga sedang berusaha untuk menyelesaikan beberapa isu projek ‘sakit’ atau terbengkalai di seluruh negara.

“Masalah projek sakit..terbengkalai, direct nego dan segalanya, kita akan selesaikan satu persatu terutamanya projek sakit dan sekolah daif,” katanya.

Sementara itu, berhubung pertemuan dengan Osman, Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam memaklumkan, pihaknya komited untuk membantu hasrat kerajaan Johor dalam mewujudkan Universiti Johor.

Katanya, menerusi exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab, beliau yakin langkah-langkah ke arah pengwujudan itu telah diambil termasuk mengenai tapak yang bersesuaian.

“Ia sebenarnya masih dalam peringkat prinsip atau dasar tetapi saya yakin pihak kerajaan negeri telah memulakan langkah-langkah.

“Pihak kementerian akan membantu apa yang sedaya mungkin untuk menjayakan harapan tersebut,” katanya.

— BERNAMA