Home English News Penyakit jantung kekal pembunuh utama rakyat Malaysia

Penyakit jantung kekal pembunuh utama rakyat Malaysia

1461
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian rakyat Malaysia bagi tempoh 13 tahun iaitu dari 2005 hingga 2017, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Dr Lee berkata penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, obesiti, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat menyumbang kepada peningkatan penyakit jantung.

“Peningkatan kadar penuaan dalam kalangan penduduk negara juga menyumbang kepada pertambahan pesakit jantung dengan kadar hayat yang lebih lama dan memerlukan rawatan jantung berterusan.

#TamilSchoolmychoice

“Menjelang 2040, dianggarkan populasi rakyat Malaysia dengan umur 65 tahun ke atas akan melebihi 6 juta, iaitu 14.5 peratus daripada populasi. Ini bermakna beban penyakit jantung koronari dijangka akan berlipat ganda dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Perkhidmatan Penjagaan Jantung Hospital Tung Shin, hari ini.

Dr Lee berkata peningkatan kematian disebabkan penyakit itu juga semakin membimbangkan iaitu pertambahan 54 peratus dalam tempoh 10 tahun dengan 13,503 kematian pada 2017 berbanding 8,776 kematian pada 2007.

“Purata umur rakyat negara ini yang mendapat penyakit jantung adalah pada usia 58 tahun, iaitu lebih muda berbanding rakyat negara lain.

“Di Thailand, purata umur rakyat yang mendapat penyakit jantung adalah pada usia 65 tahun, Singapura (61 tahun); China (63 tahun); Amerika Syarikat (66 tahun) dan Kanada 68 tahun,” katanya.

Dr Lee berkata sebanyak 141 kes bagi setiap 100,000 penduduk dianggarkan mendapat penyakit Jantung Koronari,  menjadikan anggaran keseluruhan sebanyak 45,684 kes bagi 32.4 juta rakyat.

“Bagi Sindrom Koronari Akut (ACS) termasuk serangan jantung (AMI) adalah sebanyak 47.1 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menjadikan anggaran 15,260 kes bagi keseluruhan rakyat dengan 75 peratusnya adalah terdiri daripada lelaki dan 25 peratus wanita,” katanya.

BERNAMA