Home English News Pembangunan infrastruktur SJKT bantu tingkat prestasi murid

Pembangunan infrastruktur SJKT bantu tingkat prestasi murid

344
0
SHARE

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi sokongan dan menggalakkan pembangunan infrastruktur di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam usaha meningkatkan akademik dan kegiatan kokurikulum murid.

Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook berkata dalam perkara itu kerajaan negeri pada tahun ini telah memperuntukan sebanyak RM3 juta untuk kegunaan SJKT, SJK Cina, dan sekolah agama.

“Dalam masyarakat hari ini, kita tidak lagi boleh hanya pentingkan pelajaran di dalam kelas sahaja tetapi pendidikan luar kelas juga amat penting untuk memupuk atau menggalakkan aktiviti murid.

“Namun tanpa infrastruktur yang lengkap, kegiatan atau aktiviti kokurikulum ini akan terjejas sebagai contoh dewan untuk sesebuah sekolah amat penting kerana di situlah tempat perhimpunan dan  di situ jugalah tempat untuk melakukan aktiviti kokurikulum,” katanya pada majlis perasmian Dewan SJKT Ladang Cairo di sini, hari ini.

Dewan dirasmikan oleh Pengerusi Koperasi Serbaguna Kebangsaan Malaysia Berhad Tan Sri Dr K. R. Somasundram.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Nilai J. Arul Kumar.

Tambah Loke yang juga Menteri Pengangkutan, dari segi pencapaian akademik khususnya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah murid SJKT juga dilihat semakin baik dari tahun ke tahun sekaligus menunjukkan kualiti pendidikan di SJKT semakin berkualiti.

“Kita tahu SJKT satu aliran yang sudah lama dalam negara dan dalam sistem pendidikan negara aliran Tamil sudah lama berkembang dan sehingga hari ini dalam sistem pendidikan negara aliran SJKT diteruskan dan kerajaan Pakatan Harapan akan terus berikan sokongan untuk mempuk dan menggalakan pembangunana di SJKT,” katanya.

Dewan sekolah itu mula dibina pada bulan Ogos tahun lepas dan siap sepenuhnya pada minggu lepas dengan kos keseluruhan RM300,000.

Dana pembinaan dewan ialah  daripada  peruntukan Anggota Parlimen Seremban sebanyak RM50,000 manakala dari kerajaan negeri sebanyak RM22,000, Somasundram memberi sumbangan sebanyak RM10,000 dan kos selebihnya disumbangkan oleh  pihak pengelola sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta masyarakat setempat.

– BERNAMA

Comments