Home English News Tertuduh dakwa ada bukti semua kejadian yang menimpa Kevin Morais

Tertuduh dakwa ada bukti semua kejadian yang menimpa Kevin Morais

876
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui di dalam tong berisi konkrit, empat tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia mempunyai bukti terhadap semua kejadian yang telah menimpa Kevin Morais.

S. Ravi Chandaran, 48, yang merupakan saksi pembelaan keenam juga sekali lagi menegaskan kepada mahkamah bahawa segala keterangan yang diberikannya sepanjang perbicaraan kes itu adalah betul dan bukan rekaan.

“Perkara yang berlaku (terhadap Kevin Morais), adalah benar. Setiap perkara yang berlaku pada masa ini ada bukti, semua cerita yang saya cakap, saya ada bukti,” katanya ketika pemeriksaan semula peguam A.Sheelan yang mewakilinya pada prosiding membela diri, hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Sheelan adalah peguam baharu yang dilantik Ravi Chandaran untuk mewakilinya menggantikan peguam terdahulu, V.Rajehgopal.

Ravi Chandaran memberitahu demikian selepas diminta oleh Sheelan untuk menjelaskan kenapakah pada perbicaraan sebelum ini tertuduh tidak bersetuju dengan cadangan bahawa dia telah menuduh pegawai penjara, adik Kevin Morais, Richard Morais dan peguamnya terdahulu, Rajehgopal dengan pelbagai cerita rekaan semata-mata untuk menyelamatkan diri sendiri.

Terdahulu kepada soalan Sheelan bahawa Ravi Chandaran telah cuba melibatkan tertuduh pertama, doktor tentera Kol. Dr R. Kunaseegaran dalam kes pembunuhan itu, tertuduh berkata kematian Kevin Morais bukan disebabkan olehnya tetapi disebabkan Dr Kunaseegaran.

“Kematian Kevin Morais bukan sebab saya, saya pernah beritahu mahkamah, kematian Kevin Morais sebab doktor,” katanya.

R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; S. Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 27; Thinesh Kumar, 26; Vishwanath, 29; dan Nimalan, 26 diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 56, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan serta pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 21 Mac.

BERNAMA