Home English News 4,729 notis dikeluarkan kepada individu, premis tidak patuhi larangan merokok!

4,729 notis dikeluarkan kepada individu, premis tidak patuhi larangan merokok!

112
0
SHARE

IPOH: Sebanyak 4,729 notis amaran  dikeluarkan  kepada  premis makanan dan individu yang tidak mematuhi peraturan larangan merokok di Perak setakat 27 Jan lalu, kata Timbalan  Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata  semasa  penguatkuasaan  dijalankan  dalam  tempoh tersebut, pihaknya telah memeriksa  7,846 premis makanan dengan 4,341 daripadanya didapati tiada tanda larangan merokok.

“Penguatkuasaan berterusan akan dilakukan  termasuk  melakukan rondaan di premis makanan di luar waktu pejabat iaitu pada awal pagi dan juga waktu malam bagi memberi peringatan kepada golongan sasaran seluas-luasnya berkenaan peraturan larangan merokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Lee, aktiviti penguatkuasaan pendidikan di premis makanan sebagai kawasan larangan merokok telah bermula sejak 1 Jan lalu di seluruh Perak dan sebanyak 14,000 premis diperiksa oleh 871 anggota penguatkuasa di Perak.

Sementara itu, Lee berkata semua premis perniagaan masih boleh memohon kepada Kementerian Kesihatan  untuk  mewartakan premis mereka sebagai kawasan larangan merokok walaupun premis tersebut tidak tersenarai antara 23 kawasan larangan merokok.

Katanya, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pindaan 2018, 23 jenis kawasan, termasuk premis makanan terbuka atau berhawa dingin telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

– BERNAMA

Comments