Home English News Jawatankuasa kuil fail rayuan tak benarkan wakil mereka jadi peguam pemerhati

Jawatankuasa kuil fail rayuan tak benarkan wakil mereka jadi peguam pemerhati

764
0
SHARE
Ad

SHAH ALAM: Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield telah memfailkan rayuan  terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan peguam mereka menjadi peguam pemerhati dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam M. Visvanathan yang memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, Isnin lepas berkata jawatankuasa kuil itu berhak menjadi peguam pemerhati dalam inkues untuk menanyakan soalan kepada saksi-saksi selain mendapat akses kepada semua dokumen yang dikemukakan dalam prosiding itu.

“Kami hendak menjadi peguam pemerhati bagi menjaga kepentingan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield ,” katanya ketika dihubungi Bernama.

#TamilSchoolmychoice

Pada 8 Feb lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner  itu yang menolak permohonan jawatankuasa kuil untuk menjadi peguam pemerhati  dan memutuskan  perayu (jawatankuasa kuil) tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam siasatan inkues itu yang sedang berjalan ketika ini.

Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai koroner pada 31 Jan lepas menolak permohonan Visvanathan untuk jawatankuasa menyelamat kuil menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu atas alasan ia tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.

Prosiding inkues bermula 11 Feb hingga 28 Feb; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat  Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.

– BERNAMA