Home English News Kemarau: Hutan di tiga jajahan berisiko tinggi kebakaran

Kemarau: Hutan di tiga jajahan berisiko tinggi kebakaran

173
0
SHARE

PASIR PUTEH: Hutan di tiga jajahan di Kelantan iaitu Bachok, Pasir Puteh dan Gua Musang berisiko tinggi  boleh  berlaku  kebakaran pada musim kemarau bermula dari sekarang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan,  Anwar Abu Bakar berkata sebahagian besar hutan di tiga  jajahan itu mengandungi tanah gambut yang mudah berlaku kebakaran dan sukar dikawal.

“Mulai sekarang anggota bomba dan penyelamat di kawasan itu diletakkan pada tahap berjaga-jaga selama 24 jam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Sepak Takraw Piala Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah di sini, malam tadi.

Anwar berkata kejadian terbaharu berlaku di Beris Lalang di Bachok yang membabitkan kawasan seluas 2.4 hektar bermula minggu lepas dan dapat dikawal sehingga semalam.

Beliau berkata kebakaran itu berpunca daripada aktiviti membakar sampah menyebabkan api cepat merebak ke kawasan sekitarnya termasuk membabitkan ladang kelapa sawit.

“Orang ramai juga perlu berwaspada dengan tidak melakukan pembakaran pada waktu kritikal iaitu  waktu tengah hari dan petang kecuali pada waktu pagi sebelum embun kering,” katanya.

Katanya, pihaknya akan membekukan cuti anggotanya di kawasan itu jika berlaku kebakaran yang lebih serius terutama jika berhampiran kawasan penduduk.

-BERNAMA

Comments