Home English News Pencemaran toksik: Semua 34 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup

Pencemaran toksik: Semua 34 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup

1612
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU: Kesemua 34 buah sekolah di  Pasir Gudang diarah ditutup serta-merta hari ini berikutan situasi yang dilihat semakin kritikal susulan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim sejak Khamis lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, 34 sekolah itu termasuk 13 sekolah yang ditutup semalam.

“Malangnya hari ini saya dimaklumkan keadaan semakin kritikal  (jadi) untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa anak murid dan warga sekolah, saya arah semua 34 sekolah ditutup, guru juga tidak perlu bertugas kerana keadaan masih berbahaya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

#TamilSchoolmychoice

Beliau berkata semalam kementeriannya mengarahkan 13 sekolah ditutup selepas beliau melawat pelajar yang menjadi mangsa isu pencemaran kimia itu di Hospital Sultan Ismail dan Dewan Taman Pasir Putih.

“Di sana saya menyaksikan lebih dari 50 pelajar dihantar oleh ambulans tanpa henti dari sekolah berdekatan kerana sesak nafas dan mengalami simptom yang sama dengan mangsa sebelum ini,” katanya.

Maszlee berkata pihaknya memandang serius isu itu memandangkan ia melibatkan risiko nyawa murid, guru dan pekerja sekolah.

“Kami juga menggesa agar penjenayah yang melakukan kesalahan besar ini dibawa kemuka pengadilan dengan segera,” katanya.

Beliau turut menegaskan pihaknya bekerjasama erat  dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sejak dari awal isu itu berlaku (7 Mac) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan pekerja sekolah diutamakan.

“Saya juga difahamkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang melibatkan Menteri Besar Johor sedang bersidang  bersama-sama dengan agensi berkaitan,” katanya.

— BERNAMA