Home English News SPR hantar kad pengundi kepada Rantau bermula hari ini

SPR hantar kad pengundi kepada Rantau bermula hari ini

1269
0
SHARE
Ad

SEREMBAN: Bermula hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif menghantar kad pengundi kepada 20,922 pengundi berdaftar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau  sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, pada 13 April ini.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata inisiatif tersebut bagi menggalakkan dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada PRK itu nanti.

“Penghantaran kad pengundi kepada 20,922 pengundi yang meliputi 118 pengundi awal dan 20,804 pengundi biasa.

#TamilSchoolmychoice

“Kad pengundi tersebut mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi. Maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 9 April dan hari mengundi biasa pada 13 April,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pengundi yang telah menerima kad tersebut tidak perlu lagi membuat semakan di barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat tersebut telah dinyatakan dalam kad tersebut.

“Bagaimanapun, SPR menegaskan bahawa pengundi tetap perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan kerana kemungkinan telah berpindah, boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK Nombor Kad Pengenalan ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di talian 03-8892 7018.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S. Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

— BERNAMA