Home English News Jangan bertindak kejam terhadap hidupan liar- Perhilitan

Jangan bertindak kejam terhadap hidupan liar- Perhilitan

1465
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Membunuh atau bertindak secara kejam terhadap binatang walaupun semasa konflik dengan manusia  adalah satu kesalahan di bawah undang-undang, kata Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau berkata mengikut Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), pesalah yang didapati bersalah membunuh atau bertindak kejam terhadap haiwan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Abdul Kadir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai paparan di media sosial baru-baru ini yang menunjukkan nasib haiwan yang berdepan dengan manusia, sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

#TamilSchoolmychoice

Antaranya menunjukkan dua memerang mati yang dipercayai telah dibunuh dan digantung di tiang oleh penternak ikan di Simpang Ampat, Pulau Pinang dan satu lagi, buaya yang terjerat dalam jaring ikan, yang dipukul dengan kejam oleh sekumpulan lelaki di Miri, Sarawak.

“Jangan ambil tindakan sendiri apabila melibatkan haiwan liar. Hubungi jabatan kami (Perhilitan) dan kami akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

 Abdul Kadir berkata haiwan liar perlu dilindungi dan ada cara untuk mengatasinya bagi memastikan mereka tidak pupus.

Beliau berkata bagi tempoh 2011 hingga 2018, jabatan itu mengendalikan 27 kes kekejaman terhadap haiwan di Semenanjung Malaysia, dan semua pelaku telah dituduh di mahkamah.

Walaupun bilangan kes yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan liar masih dikawal, beliau berkata keadaan itu tidak sepatutnya pandang ringan.

“Kami akan terus menjalankan penguatkuasaan dan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak membahayakan haiwan liar, kerana ia akan menjejaskan populasi haiwan,” katanya.

— BERNAMA