Home English News Dr Streram pertimbang sama ada akan merayu keputusan mahkamah batal samannya

Dr Streram pertimbang sama ada akan merayu keputusan mahkamah batal samannya

998
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram sedang mempertimbangkan sama ada akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan saman RM7.6 juta dikemukakannya terhadap bekas pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saman itu difailkan Dr Streram berhubung dakwaan salah laku ketika proses penamaan calon hingga menyebabkannya tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Peguam Sathia Stella Sidhu, yang mewakili Dr Streram memberitahu pemberita bahawa pihaknya mempunyai masa sehingga 20 April ini bagi memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.

#TamilSchoolmychoice

Peguam itu berkata isu dalam kes itu adalah sesuatu yang baharu dan penting kerana Mahkamah Persekutuan perlu membuat keputusan sama ada pengurus pilihan raya kawasan Parlimen Rembau ketika itu, Amino Agos Suyub dan SPR, dikategorikan sebagai penjawat awam menurut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada  pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak hari ini bagi memaklumkan perkembangan kes itu.

Pada 20 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Amino Agos dan SPR untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman tersebut.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmadi Asnawi ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah berpendapat bahawa Dr Streram tidak dapat membuktikan Amino Agos seorang penjawat awam dan memerintahkannya membayar kos RM10,000.

Pada 3 Sept 2018, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Amino Agos dan SPR untuk membatalkan saman berkenaan.

Dr Streram, 64, seorang doktor bius, memfailkan saman berkenaan pada 7 Mei 2018 dengan menamakan Amino Agos dan SPR sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Streram mendakwa bahawa defendan gagal menunaikan tanggungjawab di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958, yang mengakibatkan dirinya tidak dapat bertanding bagi kerusi DUN Rantau  selepas memperoleh watikah pelantikan daripada partinya dan susulan itu, Datuk Seri Mohamad Hassan daripada Barisan Nasional diisytiharkan menang kerusi DUN itu tanpa bertanding.

Dalam tuntutannya juga, beliau berkata telah membayar deposit sebanyak RM5,000 untuk pendaftaran pencalonannya dan RM3,000 lagi untuk deposit bahan kempen pada 25 April.

Beliau juga mendakwa bahawa pihak SPR tidak memaklumkan kepadanya bahawa pas SPR diperlukan untuk tujuan memasuki pusat penamaan calon.

Selain itu, Dr Streram juga membuat dua laporan polis terhadap pegawai pengurus pilihan raya itu dan SPR mengikut Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan kerana mengganggu proses demokrasi berparlimen dengan tidak membenarkannya menjadi calon.

— BERNAMA