Home English News Isi kemenangan dengan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat- TPM

Isi kemenangan dengan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat- TPM

115
0
SHARE

KUANTAN: Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) perlu mengisi kemenangan diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menjadikan pusat khidmat komuniti sebagai pusat sehenti, menghubungkan agensi kerajaan dengan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penyediaan pusat khidmat komuniti itu juga merupakan salah satu cara kerajaan PH berterima kasih kepada rakyat, dengan wakil rakyatnya perlu bekerja keras mengatasi permasalahan setempat.

“Proses penyampaian dasar kerajaan perlu dilaksanakan dengan berkesan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar tiada kelompok masyarakat terpinggir daripada proses pembangunan negara, tidak kira sama ada mereka mengundi PH atau tidak, pada PRU lalu.

“Hidupkan pusat khidmat dengan aktiviti-aktiviti ilmiah dan santai, agar kehadiran kita sebagai kerajaan baru PH dirasai penduduk setempat, dan mana-mana rakyat yang tidak mengundi kita sebelum ini akan merasa lebih yakin serta beralih kepada PH selepas ini.

“Dalam masa yang sama juga petugas di pusat khidmat komuniti harus bekerja rapat dengan agensi kerajaan, supaya kita dapat menyampaikan perkhidmatan dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Komuniti PH, DUN  Beserah di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Anggota Parlimen Indera Makota.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pahang dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung.

Dalam masa yang sama, beliau turut meminta supaya wakil rakyat supaya bekerja lebih keras menarik lebih rakyat penduduk di negara ini keluar dari kepompong kemiskinan.

“Selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya mengajak semua pihak bekerjasama dengan pihak kementerian dan agensi-agensi di bawahnya bagi membantu rakyat tempatan khususnya golongan B40.

“Kita tidak mahu belenggu kemiskinan membawa kepada masalah-masalah sosial, jenayah seksual, dan keganasan jenayah rumah tangga,” katanya.

— BERNAMA

Comments