Home English News Sebutan semula 3 kes pengubahan wang haram RM27 juta Najib ditetapkan 17...

Sebutan semula 3 kes pengubahan wang haram RM27 juta Najib ditetapkan 17 Mei

637
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas  tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes berkenaan  di hadapannya yang dihadiri  Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff  dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 66.

Ishak memaklumkan bahawa kedua-dua pihak terikat dengan perbicaraan kes lain sehingga 10 Mei.

#TamilSchoolmychoice

“Pihak kami memohon tarikh lain kerana terikat dengan perbicaraan kes SRC (Najib) sehingga 10 Mei ini,” katanya.

Najib kini sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Feb lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

— BERNAMA