Home English News RCI wang Kelian: PATI diminta bayar lebih RM2,000 kepada ejen

RCI wang Kelian: PATI diminta bayar lebih RM2,000 kepada ejen

939
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian diberitahu hari ini mangsa yang dikurung perlu membayar lebih RM2,000 jika ingin masuk ke negara ini.

Komandan Kompeni B, Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, DSP Joeking M. Maniam Anthony berkata perkara itu didedahkan oleh seorang daripada 38 mangsa yang ditahan pasukannya selepas operasi meninjau dan menyerbu kem tersebut pada 19 Jan 2015.

Saksi kelima sesi pendengaran hari kedua RCI itu berkata pendatang tanpa izin itu telah membayar RM2,000 kepada satu ejen sebelum mereka diterbangkan ke Malaysia.

#TamilSchoolmychoice

“Sejurus tiba, mereka kemudiannya dibawa ke satu tempat, dibawa berjalan di dalam hutan sebelum tiba di kawasan penempatan di Bukit Burma tersebut.

“Mereka kemudiannya diminta ‘membayar lebih’ kepada ejen  sebagai syarat untuk memasuki negara ini serta mendapat pekerjaan, dan jika tidak, mereka akan terus berada di kem tersebut,” katanya.

 Prosiding berlangsung di hadapan Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria yang juga bekas Ketua Hakim Negara serta enam anggota suruhanjaya yang lain di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri di sini.

Joeking berkata 38 pendatang tanpa izin yang ditahan merupakan warga Myanmar dan Bangladesh, tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta tidak tahu berbahasa Inggeris kecuali seorang seorang warga Bangladesh yang boleh bercakap Melayu dan Inggeris yang bertindak memberikan maklumat tersebut kepadanya.

“Mereka berada dalam keadaan lemah, lapar dan keletihan. Saya beri mereka air dan roti sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar,” katanya menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Khairul Anuar Abd Halim.

Kepada soalan adakah pasukannya gagal dalam operasi itu kerana tidak menangkap orang sepatutnya, Joeking berkata beliau tidak dimaklumkan tentang kewujudan aktiviti pemerdagangan manusia di lokasi tersebut.

Katanya maklumat awal yang diterima hanyalah berkaitan pendatang tanpa izin dan hanya tahu ia mungkin lokasi pemerdagangan manusia setelah operasi berakhir.

Menurutnya, berdasarkan temu bual bersama warga Bangladesh terbabit, beliau difahamkan kira-kira 12 pendatang tanpa izin berjaya melarikan diri.

Joeking turut memaklumkan tiada bahan bukti diserahkan kepada polis semasa membuat laporan di IPD Padang Besar kerana tidak dimaklumkan mengenai kewujudan sebarang bukti daripada penahanan tersebut.

— BERNAMA