Home English News Gangguan bekalan air di Klang pulih mulai esok!- Dr Xavier

Gangguan bekalan air di Klang pulih mulai esok!- Dr Xavier

163
0
SHARE

PUTRAJAYA: Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang susulan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip berkenaan yang telah siap pada kadar 35 peratus sehingga semalam.

Beliau berkata kontraktor Air Selangor perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah Ahad lepas.

“Saya minta kesabaran penduduk Klang sebab masalah air ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Kontraktor bekerja 24 jam bagi memastikan air disambung balik,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kementeriannya di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau berkata pihaknya juga mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyiasat isu paip pecah tersebut.

Sejak Ahad lepas, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.

Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Ir Izham Hashim  dilaporkan berkata kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.

  — BERNAMA

Comments