Home English News Baucar bayaran RM2 Bilion diluluskan kepada SRC!

Baucar bayaran RM2 Bilion diluluskan kepada SRC!

663
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR:  Bekas naib presiden Jabatan Perkhidmatan Sokongan Pelaburan (ISSD),  Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah meluluskan baucar bayaran kepada SRC International Sdn Bhd berjumlah RM2 bilion pada 2012, yang merupakan pembiayaan tambahan daripada KWAP.

Amirah Muhamad Nor, 61, berkata sebagai naib presiden ISSD, beliau telah diberi kuasa oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWAP untuk meluluskan baucar bayaran berkenaan.

“Kemudahan pembiayaan berjangka tambahan kepada SRC adalah bertujuan untuk pembiayaan aktiviti pelaburan am dan modal pusingan,” katanya ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-16 perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

#TamilSchoolmychoice

Amirah, yang juga seorang pesara, berkata, pada 2011, KWAP telah meluluskan kemudahan pembiayaan berjangka kepada syarikat SRC sebanyak RM2 bilion dan tahun berikutnya meluluskan tambahan RM2 billion.

“ Oleh itu, jumlah kemudahan pembiayaan berjangka yang diberikan oleh KWAP kepada SRC ialah sebanyak RM4 bilion,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Saksi ke-34 pendakwaan itu turut memaklumkan bahawa bagi pinjaman pertama pada 2011, KWAP telah menerima Borang Notis Penggunaan bertarikh 26 Ogos 2011 iaitu surat permohonan pengeluaran wang kemudahan pembiayaan berjangka oleh SRC kepada KWAP.

“Seingat saya, semasa pembayaran kali pertama pada tahun  2011, saya telah bercuti dan saya tidak menandatangani baucar bayaran berkenaan. Baucar bayaran itu ditandatangani oleh Ketua Jabatan Akaun dan Pengurusan Perkhidmatan, M. Ambalagam yang turut mempunyai kuasa untuk meluluskan pembayaran itu,” katanya.

Saksi itu berkata pada 28 Mac 2012, beliau telah memaklumkan  Amirul Imran Ahmat daripada Jabatan Pendapatan Tetap KWAP bahawa kemudahan pembiayaan berjangka tambahan berjumlah RM2 bilion telah dikeluarkan oleh KWAP dan dimasukkan ke dalam akaun SRC.

Menjelas lanjut proses pembayaran wang kepada SRC, Amirah berkata butiran pembayaran yang akan dibuat dimasukkan ke dalam sistem dan kebiasaannya proses ini akan dilakukan oleh kakitangan Jabatan Penjelasan Pelaburan (ISD).

“Setelah dimasukkan ke dalam sistem, butiran pembayaran akan disemak dan disahkan oleh penolong naib presiden sebelum baucar bayaran boleh dicetak. Selepas baucar bayaran dicetak, ia perlu dikepilkan bersama-sama dokumen sokongan seperti salinan perjanjian, memo arahan pembayaran dan kelulusan ahli-ahli Lembaga Pengarah KWAP.

“Kemudian baucar bayaran akan dibawa kepada penolong naib presiden untuk semakan sebelum dibawa kepada naib presiden untuk  kelulusan. Selepas baucar bayaran diluluskan, ia akan dibawa ke bilik RENTAS untuk proses bayaran dalam talian dan kakitangan ISSD akan masuk maklumat ke dalam sistem RENTAS dan seterusnya proses First RENTAS Approval dan diikuti Second RENTAS Approval,” katanya sambil menambah bahawa selepas kedua-dua proses selesai, pembayaran akan dibuat kepada pelanggan.

Sementara itu, saksi ke-33 pendakwaan, Ambalagam, 62, yang merupakan Ketua Jabatan Caruman, KWAP, berkata beliau  terlibat dalam proses meluluskan baucar bayaran ISD kepada SRC International bagi kemudahan pembiayaan berjangka daripada KWAP berjumlah RM2 bilion pada 2011.

Beliau menjelaskan bahawa kemudahan pembiayaan  berjangka kepada SRC adalah bagi membiayai aktiviti pelaburan am dan modal pusingan.

“KWAP menerima surat permohonan pengeluaran wang kemudahan pembiayaan daripada SRC pada 26 Ogos 2011. Saya telah membantu untuk  meluluskan baucar bayaran itu kerana Amirah tiada di pejabat kerana bercuti.

Saksi itu berkata, berdasarkan baucar berkenaan, penerima adalah SRC International dengan nombor akaun 2112022009736.

Katanya, di peringkat ISD, peranan dan kuasa beliau hanya untuk membuat pembayaran serta penerimaan bayaran dan tidak mempunyai  kuasa untuk mempersoal justifikasi pembayaran atau penerimaan yang dilakukan.

‘Selagi proses mengikut prosedur dan telah mendapat kelulusan Panel Pelaburan, ISD akan memproses bayaran mengikut bidang kuasa yang  ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, saksi ke-32 pendakwaan Noor Lina Mahmud, 54, yang merupakan Ketua Unit Treasury Settlement di Maybank Berhad memberi keterangan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali  bersambung Selasa ini.

— BERNAMA