Home English News 100 peratus dokumen kes pecah amanah, rasuah Isa selesai diserah kepada pembelaan

100 peratus dokumen kes pecah amanah, rasuah Isa selesai diserah kepada pembelaan

678
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR:  Pihak pendakwaan telah menyerahkan kesemua dokumen, termasuk baki tiga dokumen berkaitan kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM3 juta,  demikian pihak pembelaan, Mahkamah Tinggi diberitahu di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai memaklumkan perkara itu pada pengurusan kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Hari ini ditetapkan untuk penyerahan baki tiga dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kepada pihak peguam dan mereka telah menerimanya pagi ini.

#TamilSchoolmychoice

“Jika diizinkan pohon satu lagi tarikh pengurusan kes iaitu dalam sebulan sebelum bicara supaya pihak pendakwaan dan pembelaan dapat melakukan pertukaran kenyataan saksi dan sebagainya,” kata Allan yang turut mencadangkan tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 30 Ogos.

Peguam Ridha Abdah Subri, yang mewakili Mohd Isa,  mengesahkan pihaknya telah menerima baki tiga dokumen itu dan tidak membantah permohonan untuk pengurusan kes seterusnya.

Hakim Nazlan kemudian menetapkan 30 Ogos untuk pengurusan kes.

Pada 11 April lepas, Allan memaklumkan bahawa kesemua dokumen telah diserah kepada pihak pembelaan kecuali tiga dokumen yang tidak lengkap dan akan diserahkan dalam masa terdekat.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 bertarikh 25 Jun, 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai bawah RM100 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April, 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa telah secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Dis, 2015, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA