Home English News Bicara kes Najib, Irwan berlangsung 48 hari bermula 6 Jan 2020

Bicara kes Najib, Irwan berlangsung 48 hari bermula 6 Jan 2020

873
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan selama 48 hari bermula 6 Jan tahun hadapan untuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang menghadapi enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, dan Datuk K. Kumaraendran bertindak bagi pihak Mohd Irwan Serigar.

Bagi bulan Januari, Hakim Mohd Nazlan menetapkan tarikh 6-9 Jan dan 20-23 Jan untuk perbicaraan.

#TamilSchoolmychoice

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan pada bulan Februari iaitu 3-6 Feb, 10-13 Feb, 17-20 Feb dan 24-27 Feb.

Pada bulan Mac pula, perbicaraan ditetapkan pada 2-5 Mac dan 9-12 Mac manakala bagi bulan April, tarikh bicara ditetapkan pada 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April.

Terdahulu Jamil memaklumkan kepada mahkamah bahawa tarikh perbicaraan kes itu yang ditetapkan sebelum ini dari 8 Julai ini hingga 22 Ogos telah dilapangkan oleh mahkamah.

“Oleh itu,  pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan yang baharu,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan bagaimanapun berkata tarikh perbicaraan sebelum ini dilapangkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang sedang berlangsung.

Pada 7 Jan lepas,  pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil 70 saksi bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib dan Mohd Irwan Serigar.

Pada 25 Okt lepas, Najib, 66, dan Mohd Irwan Serigar, 62, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah apabila kes itu disebut di Mahkamah Sesyen.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti terbabit diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit.

Bagi pertuduhan ketiga mereka dituduh secara bersama, atas kapasiti sebagai penjawat awam dan memegang jawatan yang sama, melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan kepada mereka.

Kedua-dua mereka juga dituduh secara bersama, atas jawatan yang sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka dituduh bersama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Dis, 2016 dan 18 Dis, 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA