Home English News Kuota Matrikulasi bukan Bumiputera & fasih berbahasa Mandarin tidak boleh dilihat secara...

Kuota Matrikulasi bukan Bumiputera & fasih berbahasa Mandarin tidak boleh dilihat secara terpisah

992
0
SHARE
Ad

KANGAR: Kuota matrikulasi bukan Bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan adalah  perkara yang tidak boleh dilihat secara terpisah, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Ts Dr R. Badlishah Ahmad.

Beliau berkata dalam kehidupan masyarakat majmuk, isu perkauman seperti itu tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia hanya menjerumus kepada ketidakstabilan emosi rakyat.

“Sebagai Naib Canselor UniMAP dan berada dalam persekitaran pendidikan sejak 1990an lagi, saya merasakan  pandangan  Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai perkara itu adalah jelas dan bukan bersifat perkauman,” kata Dr Badlishah dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Beliau mengulas ucapan menteri itu di hadapan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada Khamis  mengenai isu kuota bukan Bumiputera dan fasih berbahasa Mandarin yang menimbulkan rasa tidak senang banyak pihak.

Antara lain Dr Maszlee berkata tidak adil jika kuota matrikulasi  untuk bukan Bumiputra dilonggarkan tetapi pada masa sama majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapat pekerjaan yang secara langsung  menafikan hak kaum Bumiputera.

Badlishah berkata keadilan bukanlah bererti memberi hak sama rata tetapi meletakkan sesuatu yang hak di tempat sepatutnya.

“Dalam konteks keadilan adalah penting untuk semua pihak  memahami senario masyarakat di Malaysia dan penting untuk menjaga keharmonian sesama kaum.

“Perlembagaan Malaysia sendiri menggariskan perkara-perkara yang menjadi pasak negara dan sewajarnya menjadi pegangan teguh dan difahami semua pihak,” katanya.

Beliau berkata masyarakat harus meraikan kepelbagaian bangsa berteraskan ruang sivik yang semakin melebar dengan  mengutamakan kestabilan, kemajuan, keadilan, keterangkuman, kebebasan, hak dan demokrasi termasuk hak dalam pendidikan.

— BERNAMA