Home English News Bil elektrik mendadak: TNB perjelas alami gangguan isu teknikal pada 15-20 Mei...

Bil elektrik mendadak: TNB perjelas alami gangguan isu teknikal pada 15-20 Mei lepas

825
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR:  Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami isu teknikal dari 15 hingga 20 Mei lepas dalam sistem pengebilan syarikat utiliti itu sehingga menyebabkan pengguna mengeluh mengenai kenaikan bil elektrik yang mendadak sejak kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Amir Hamzah Azizan berkata pelanggan telah dimaklumkan menerusi platform yang berkenaan dan sistem telah dipulihkan sepenuhnya dan beroperasi dengan sempurna dan lancar.

“Saya akui ada kalanya terdapat kesilapan manusia kerana waktu itu sistem tidak berfungsi dan ada sebahagian data tidak dimasukkan.

#TamilSchoolmychoice

“Kita memberi tumpuan penuh untuk menangani isu ini dan akan memastikan setiap aduan (berhubung bil tinggi) disiasat serta tindakan memulangkan semula lebihan bayaran dilakukan jika terbukti berlaku,” katanya pada sidang media mengenai isu bil tinggi di Ibu Pejabat TNB di Bangsar di sini, hari ini.

Sebelum ini, ramai pengguna mengeluh kenaikan bil elektrik mereka menerusi media sosial dan mereka juga merasakan tertipu selagi pihak TNB tidak tampil untuk memberikan sebarang jawapan.

Amir Hamzah berkata, bagi menangani isu bil tinggi, pihaknya telah menubuhkan Pasukan Khas Tangani Bil Tinggi yang diketuai Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan bagi memantau dan menyemak semua laporan atau aduan yang diterima.

Dalam pada itu, 14,469 aduan berkaitan kenaikan bil elektrik diterima oleh TNB sepanjang April hingga Mei tahun ini.

Daripada jumlah itu, 11,331 telah diselesaikan manakala bakinya 3,318 sahaja yang masih dalam siasatan.

Beliau turut menjemput pelanggan yang mengalami isu berkenaan untuk segera datang ke Kedai Tenaga di mana waktu operasi akan dilanjutkan dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari bekerja serta Sabtu, kecuali cuti umum bagi satu tempoh tertentu.

“Untuk TNB CareLine, ia beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 11 malam setiap hari termasuk cuti umum, kecuali Ahad dan sepanjang cuti lebaran,” katanya.

Amir Hamzah turut memaklumkan, 9,300 warga kerja TNB akan bertugas pada cuti lebaran Aidilfitri bagi memastikan kelancaran bekalan elektrik.

— BERNAMA