Home English News Jambatan angkat bakal lonjak pelancongan warisan Terengganu

Jambatan angkat bakal lonjak pelancongan warisan Terengganu

1331
0
SHARE
Ad

KUALA TERENGGANU: Jambatan angkat atau ‘drawbridge’  pertama Asia Tenggara di Terengganu bakal melonjakkan lagi konsep pelancongan warisan sekali gus menjana aktiviti ekonomi makro negeri berkenaan.

Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Pembangunan Ekonomi dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Nur Azura Sanusi berkata, bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri disaran memanfaatkan sepenuhnya potensi jambatan angkat sebagai salah satu ikon kemegahan negeri tersebut.

“Pelancongan warisan ini bukan sahaja dapat memberi pulangan komersial kepada pengiat industri dan peniaga kecil-kecilan, malah dapat menggalakkan dan seterusnya mengekalkan warisan asli Terengganu.

#TamilSchoolmychoice

“Pelancongan warisan secara langsung akan menggalakkan industri perhotelan dan restoran, kraftangan, batik, songket, keropok lekor, tembaga dan perikanan rekreasi serta lain-lain yang berkaitan di Terengganu khususnya,” kata beliau kepada Bernama hari ini.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini, melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Semalam, jambatan itu mula dibuka kepada orang ramai untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun ini, jambatan angkat akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain projek itu dan tarikh pembukaan rasminya akan dimaklumkan setelah semua kerja dan pentauliahan komponen projek selesai.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Alex Lee berharap satu pengurusan mampan yang lestari dapat dilaksanakan agar jambatan angkat tersebut mampu bertahan lama sebagai produk baharu pelancongan di negeri itu.

“Kita tidak mahu ia hanya tular dalam tempoh yang singkat… untuk memastikan popularitinya kekal bertahan, sudah pasti pengurusan terbaik perlu dilaksanakan termasuk sistem penyelenggaraan yang sempurna.

“Jambatan angkat akan terus menarik kedatangan pelancong  sekiranya ia sentiasa ditambah baik dengan produk dan perkhidmatan yang bagus seperti restoran mempunyai keistimewaan tersendiri di samping beberapa tarikan lain,” katanya.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu itu mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat.

— BERNAMA