Home English News Rasuah: Abdul Hamid tekad perkukuh integriti PDRM

Rasuah: Abdul Hamid tekad perkukuh integriti PDRM

914
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Membanteras gejala rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah keutamaan dan langkah pertama yang diberi perhatian dalam memperkukuhkan keintegritian ketumbukan PDRM, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perkara yang akan dilakukan selepas dilantik memegang tampuk kepimpinan PDRM ialah untuk memberi  kesedaran kepada pegawai dan anggota PDRM bahawa kegiatan rasuah ini merupakan satu dosa yang besar.

“Ini kerana, PDRM bertanggungjawab…kuasa yang diberi kepada PDRM adalah suci, sekiranya ada warga PDRM yang dinodai rasuah ia akan menjadi satu dosa yang besar.

#TamilSchoolmychoice

“Oleh itu, saya hendak menjelaskan kepada warga PDRM di semua peringkat agar mereka harus ada perasaan kesedaran dalam diri bahawa apa juga wang diperolehi dengan cara yang salah ini tidak halal untuk diberikan kepada keluarga mereka,” katanya dalam temuramah ekslusif Bernama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata beliau bertekad untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan warga PDRM bahawa rasuah merupakan satu perbuatan yang amat jijik.

“Apabila sudah ada kefahaman dan kesedaran ini, barulah mereka boleh mengorak langkah baharu untuk menghentikan segala perbuatan menganiayai orang ramai. Selain itu, rasuah berlaku ‘across the board’ dalam kesemua 10 jabatan PDRM termasuklah Cawangan Khas.

“Makanya yang inilah harus dikekang dan selepas itu saya akan bertindak untuk menutup seberapa banyak ruang (cegah warga PDRM terlibat rasuah) yang selama ini kabur antara boleh dan tidak boleh,” katanya.

Abdul Hamid menjelaskan bahawa baru-baru ini, beliau ada mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen, Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Polis Balai (OCS) untuk menghentikan segala perbuatan mendapatkan tajaan pihak luar semata-mata untuk menganjurkan majlis rumah terbuka sempena aidilfitri.

“Sebenarnya ada pihak mengatakan bahawa ini adalah acara tradisi, saya setuju, memang setiap tahun kami menganjurkan acara berkenaan (majlis rumah terbuka) yang mana kami akan menjemput pegawai-pegawai kerajaan serta kedutaan asing untuk beramah mesra dengan PDRM.

“Bagaimanapaun, tiada sebarang peruntukan yang diberikan kerajaan kepada PDRM untuk menganjurkan aktiviti sedemikian. Jadi kami terpaksa menggunakan duit dalaman seperti tabung kebajikan, sosial dan sukan yang kini semakin menipis menganjurkan majlis makan besar-besaran yang menelan belanja yang tinggi,” katanya.

Abdul Hamid berkata selama ini majlis rumah terbuka mendapat tajaan daripada syarikat korporat misalnya di Bukit Aman tetapi di peringkat bawah ada pegawai-pegawai polis bawahan menagih tajaan daripada syarikat luar untuk menganjurkan majlis itu.

“Tindakan berkenaan dibuat tidak mempunyai garis panduan, di mana daripada siapakah yang kita hendak tagihkan ini?. Maka disitulah akan timbul di mana kumpulan-kumpulan yang boleh mempersoal integriti mereka ini turut menyumbang kepada menjayakan majlis itu,” katanya.

Abdul Hamid berkata selain itu, menganjurkan majlis rumah terbuka juga merupakan pembaziran waktu kerja apabila mereka yang terlibat akan menggunakan masa kerja bermesyuarat dua minggu untuk penganjuran majlis itu.

“Sekurang-kurangnya saya boleh jangka dua minggu mereka akan bermesyuarat (mengadakan rumah terbuka) dan menubuhkan jawatankuasa itu, jawatankuasa ini. Pada saya dua minggu yang ada itu, eloklah digunakan untuk mereka bermesyuarat bagaimana boleh meningkatkan lagi mutu perkhidmatan PDRM.

“Jadi saya seboleh-bolehnya akan menutup ruang untuk pegawai bawahan ini yang dijadikan hamba abdi untuk mengutip dana dan tidak menghentikan pembaziran waktu agar meletakkan kembali fokus mereka untuk meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga OCPD dan OCS yang mesra alam dan popular di daerah masing-masing kerana memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“Dalam hal ini, pada saya itu sudah cukup kerana dapat maklum balas positif orang ramai dengan perkhidmatan kami. Mungkin orang ramai sendiri menganjurkan rumah terbuka di taman-taman perumahan, jemputlah OCPD dan OCS pergi ke sana saya amat mengggalakkan pegawai saya pergi merapatkan ukhwah,” katanya sambil memberitahu bahawa tahun ini PDRM tidak akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri baik di peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah.

— BERNAMA