Home English News Selangor tetapkan umur belia sehingga 40 tahun untuk program pembangunan

Selangor tetapkan umur belia sehingga 40 tahun untuk program pembangunan

221
0
SHARE

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menetapkan untuk mengekalkan had umur golongan belia sehingga 40 tahun bagi setiap program pembangunan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata ini berikutan sebahagian golongan belia di Selangor yang berumur 30 tahun ke atas masih aktif dalam aktiviti sukan dan program ‘outdoor’.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan golongan terbabit dalam setiap program pembangunan belia.

“Kerajaan Negeri Selangor meneliti dengan rapat pindaan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 688) yang menghadkan umur belia dari 40 ke 30 tahun seperti yang telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri Selangor secara dasarnya menyokong keputusan tersebut tetapi masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 sehingga 40 tahun, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata ia juga selaras dengan inisiatif diwujudkan kerajaan negeri kepada belia seperti Insentif Perkahwinan Belia yang ditawarkan kepada mereka berumur sehingga 40 tahun.

“Kita turut bertemu beberapa orang belia di lapangan dan mereka berpandangan, umur 30 tahun adalah terlalu cepat habis zaman belia.

“Namun kerajaan negeri akan terus bekerjasama dan kekal komited bersama Kementerian Belia dan Sukan dalam setiap usaha pembangunan belia di Selangor secara khususnya dan Malaysia secara amnya, “ katanya.

Pada Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU itu diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas ia dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

— BERNAMA

Comments