Home English News Syed Saddiq hormati pandangan Sarawak teliti keputusan turun had usia belia

Syed Saddiq hormati pandangan Sarawak teliti keputusan turun had usia belia

220
0
SHARE

KUCHING: Kerajaan persekutuan menghormati pandangan kerajaan negeri Sarawak untuk meneliti secara mendalam mengenai keputusan menurunkan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pada masa kini, pindaan tersebut hanya melibatkan persatuan yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

“Apa yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri itu adalah lain dan bukan di bawah bidang kuasa kerajaan pusat untuk menentukan. Jadi hanya yang berdaftar di bawah ROY akan meneruskan pindaan tersebut.

“Saya rasa ia adalah jalan untuk kita (kerajaan negeri dan kerajaan pusat) untuk berkerjasama dengan lebih rapat di mana kerajaan persekutuan boleh membantu dalam menyasarkan bantuan kepada belia bawah 30 tahun, yang transisinya akan bermula pada Disember 2021,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Pada 3 Julai lepas, Syed Saddiq telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata masalah umur tidak menjadi masalah besar, apa yang penting adalah program yang menjurus kepada pembangunan belia.

“Di Sarawak, badan belia didaftarkan di bawah Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), jadi kerajaan negeri yang menentukan had umur kepada 40.

“Kita ada program usahawan untuk belia B40, jika had umur diturunkan maka ia akan mencacatkan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini, jadi kita masih melihat secara mendalam apakah implikasi dan sebagainya,” katanya.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan Sarawak mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun sehinggalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bersetuju menukar kepada had umur baharu.

— BERNAMA

Comments