Home English News MITRA perlu lebih cekap dalam membantu pembangunan masyarakat India

MITRA perlu lebih cekap dalam membantu pembangunan masyarakat India

1886
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) digesa mengamalkan proses penilaian dan pemantauan yang lebih cekap bagi program memajukan pembangunan masyarakat India di negara ini.

Hal ini ditekankan selepas didapati Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang ditubuhkan di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu gagal dalam mencapai matlamat itu.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, bagi tempoh tahun 2014 hingga 2018, peruntukan RM203.89 juta telah disalurkan kepada SEDIC, yang dijenamakan sebagai MITRA tahun ini, tetapi program yang dilaksanakan adalah kurang cekap kerana tiada rekod dan pangkalan data yang lengkap diselenggarakan untuk menilai pencapaian ‘outcome’.

#TamilSchoolmychoice

“ Pada tahun 2017, 49 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang tidak memenuhi kriteria telah diluluskan penerimaan dana berjumlah RM18.91 juta, manakala 20 fail individu NGO untuk 23 program dengan amaun dana sebanyak RM10.77 juta bagi tahun 2014 tidak dikemukakan oleh SEDIC untuk semakan Audit,” demikian menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Antara penemuan lain yang perlu diberikan perhatian ialah 15 NGO dan satu Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) yang dilawati telah membelanjakan dana tidak mengikut skop yang ditetapkan berjumlah RM2.77 juta manakala lapan NGO tidak membuat bayaran bagi elaun peserta, token lokasi, insurans dan kit peserta berjumlah RM 8.13 juta.

 Sebanyak 18 NGO pula tidak mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap bagi pembayaran berjumlah RM8.13 juta.

“Amalan tadbir urus dan pemantauan oleh SEDIC terhadap proses penilaian dan pelaksanaan program oleh NGO adalah lemah,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu, MITRA disyor menyediakan pangkalan data yang menyeluruh serta menyelenggarakan secara lengkap dan kemas kini bagi mempertingkatkan kaedah pemantauan dan penilaian ‘outcome’ program secara menyeluruh.

“MITRA perlu lebih teliti dalam meluluskan program berdasarkan skop yang ditetapkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan memastikan kesemua permohonan dinilai secara telus dan menyeluruh berdasarkan panduan penilaian dan pemilihan yang ditetapkan,” menurut laporan itu lagi.

Laporan itu juga menyatakan MITRA perlu bekerjasama dengan MEA bagi mengkaji dan meneliti semula keperluan menyalurkan peruntukan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi lain bagi membiayai program.

“Ini bagi memastikan peruntukan kerajaan mendapat ‘value for money’ dan tidak disalahgunakan oleh pihak berkepentingan,” menurut laporan itu lagi.

Kawalan dalaman dan tadbir urus juga perlu ditingkatkan oleh ICU, MEA dan MITRA dalam pengurusan MITRA bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan.

Selain itu, MITRA perlu menyediakan ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) terperinci dan perlu menyenaraihitam NGO yang tidak melaksanakan program serta tidak mengikut SOP yang ditetapkan.

MITRA juga dinasihat supaya memastikan tiada campur tangan politik atau kepentingan peribadi dalam pelaksanaan program di bawah unit itu.

— BERNAMA