Home English News Najib, Rosmah tarik balik permohonan dapatkan dokumen transaksi jual beli tanah

Najib, Rosmah tarik balik permohonan dapatkan dokumen transaksi jual beli tanah

1012
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menarik balik permohonan mereka bagi mendapatkan beberapa dokumen termasuk transaksi jual beli tanah dan cukai taksiran yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas keuntungan tanah yang dirujuk dalam tuntutan saman difailkan pengarah syarikat Carpet Raya Sdn Bhd, J.R. Deepak Jaikishan.

Dokumen itu membabitkan saman difailkan kesemua plaintif iaitu Deepak, Carpet Raya Sdn Bhd dan adiknya, J. Rajesh, yang juga pengarah syarikat Carpet Raya terhadap Najib dan Rosmah serta Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selaku defendan berhubung dakwaan pasangan suami isteri itu bertanggungjawab membayar cukai hasil dikenakan ke atas syarikat tersebut ketika Deepak, yang juga ahli perniagaan menjadi ejen dan proksi kepada mereka.

Peguam Irzan Iswat Mohd Nor yang mewakili Deepak berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohanan Najib dan Rosmah bagi mendapatkan kesemua dokumen itu yang dirujuk dalam penyataan tuntutan anak guamnya.

#TamilSchoolmychoice

“Walau bagaimanapun, Najib dan Rosmah menarik balik permohonan mereka dan mahkamah kemudiannya membatalkan permohonan itu tanpa sebarang kos,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar hari ini yang turut dihadiri peguam Cheryl Chong Wei Teng, bertindak bagi pihak pasangan suami isteri terbabit.

Irzan Iswat berkata mahkamah menetapkan 5 Ogos untuk pengurusan kes.

Dalam permohonan yang difailkan pada Disember 2018, Najib dan Rosmah memohon untuk mendapatkan beberapa dokumen termasuk dokumen jual beli tanah dan cukai taksiran yang dikenakan oleh LHDN atas keuntungan tanah serta dokumen membabitkan kemudahan pembiayaan oleh sebuah perbankan kepada Rosmah.

Permohonan itu difailkan atas alasan kesemua dokumen tersebut tidak berada dalam kawalan pasangan suami isteri itu dan kewujudan dokumen berkenaan tidak diketahui mereka.

Dalam saman difailkan pada 15 Nov 2018, Deepak mendakwa dari 2004 hingga 2010, beliau dan syarikat itu telah bertindak sebagai ejen dan proksi kepada Najib dan Rosmah dalam transaksi penjualan dan pembelian tanah serta perniagaan bawah arahan pasangan suami isteri berkenaan yang transaksi tersebut memberi manfaat dan keuntungan kepada Najib dan Rosmah.

Menerusi penyataan tuntutan, Deepak mendakwa defendan ketiga (Abdul Azeez) pula telah menjadi ejen kepada Najib dan Rosmah bagi melaksanakan transaksi berkenaan dan menjadi orang perantaraan antara pasangan suami isteri itu dan plaintif kedua iaitu Carpet Raya.

Namun, Deepak mendakwa, akibat daripada transaksi berkenaan, pihak LHDN telah menghantar surat bertarikh 2 Mac 2018 kepadanya supaya menyelesaikan tunggakan cukai syarikat Carpet Raya dan cukai individunya berjumlah lebih RM6 juta, tidak termasuk kenaikan cukai penalti dan faedah.

Dakwa Deepak, perkara itu berlaku selepas hubungan antara beliau dengan pasangan suami isteri itu menjadi tegang sekitar tahun 2012 berikutan kengganannya untuk mengikut arahan Najib dan Rosmah dalam satu kes saman sivil membabitkan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dan Abdul Azeez juga mempunyai pengetahuan mengenai perkara berkenaan.

Kesemua plaintif mendakwa Najib dan Rosmah juga mengarahkan tindakan guaman diambil oleh LHDN terhadap syarikat Carpet Raya dan satu Petisyen Penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 oleh LHDN dan petisyen berkenaan telah disiarkan dalam surat khabar.

Plaintif mendakwa akibat petisyen penggulungan itu, perniagaan dan reputasi kesemua plaintif terjejas dan Deepak turut dilarang keluar negeri selain mendakwa kemudahan urusan perniagaan mereka telah ditarik balik oleh Maybank dan kontrak syarikat itu bersama IKEA telah dibatalkan.

Oleh itu, kesemua plaintif menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Rosmah adalah pihak bertanggungjawab untuk membayar tunggakan cukai yang dikenakan terhadap syarikat berkenaan.

Turut dituntut ganti rugi berjumlah RM500,000 yang telah dibayar kepada Maybank, ganti rugi berjumlah RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat itu dalam memenuhi kewajipan kontrak dan jualan, ganti rugi RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat berkenaan bersama IKEA, ganti rugi berjumlah RM200 juta atas dakwaan memfitnah dan ganti rugi RM37 juta akibat kerugian disebabkan salah laku oleh Najib selain menuntut ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM100 juta.

— BERNAMA