Home English News Jho Low buat soalan ramalan yang mungkin ditanya media berhubung isu 1MDB

Jho Low buat soalan ramalan yang mungkin ditanya media berhubung isu 1MDB

593
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low telah membuat soalan ramalan yang mungkin ditanya oleh beberapa pihak termasuk media beserta jawapan “damage control” berhubung isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berkata soalan-soalan ramalan yang mungkin dipersoalkan adalah berapa jumlah hutang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia dan bagaimanakah Letter of Support berbeza dari Government Guarantee.

“Soalan ramalan lain ialah apakah status dana pelaburan yang diuruskan oleh Brazen Sky Limited, isu bayaran balik RM2 billion kepada Maybank dan mengapa 1MDB tidak menjelaskan bayaran ini serta yang terakhir adalah berkenaan dengan IPO (Initial Public Offerings) ,” katanya ketika membaca penyataan saksinya pada hari keempat perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

#TamilSchoolmychoice

Amhari Efendi, yang merupakan seorang daripada saksi penting pendakwaan berkata selain soalan-soalan ramalan, Jho Low juga telah  menyediakan jawapan-jawapan ‘damage control’ kerana pada masa itu isu penyelewangan 1MDB sedang hangat diperkatakan di media massa.

“Soalan itu disediakan oleh Jho Low sebagai ‘update’ untuk makluman Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan ianya terkandung di dalam dokumen nota maklumat (eng: talking points) mengenai FAQ (Frequently Ask Question),” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Saksi pendakwaan kelapan itu turut menjelaskan bahawa beliau dan bekas setiausaha sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias menerima dokumen berkenaan daripada Jho Low.

“Seingat saya, Datuk Azlin ada meminta saya untuk menyimpan salinan dokumen ini. Saya kenal dan yakin dokumen ini daripada Datuk Azlin kerana mempunyai catitan tangannya.

“Tujuan perkara itu telah dibincangkan terlebih dahulu oleh Jho Low adalah untuk menerangkan mengenai  isu-isu yang timbul di kalangan umum  dan sebagai pengetahuan kami agar kami bersedia sekiranya isu ini dipersoalkan ataupun jika dilaksanakan, kami sedia maklum akan perkara tersebut,” katanya yang turut memaklumkan bahawa dokumen tersebut tidak dilupuskan kerana mungkin beliau terlepas pandang.

Kata Amhari Efendi, dokumen berkenaan adalah untuk perhatiannya sahaja dan beliau tidak membuat apa-apa tindakan susulan selepas menerima dokumen itu.

Amhari Efendi, yang ketika itu bertugas di Bahagian Ekonomi di PMO berkata beliau juga telah menerima memo yang mengandungi isu-isu semasa dan terkini berkaitan 1MDB daripada Jho Low menerusi email.

“Jho Low telah menyediakan memo itu dan  kebiasaannya  beliau (Jho Low) akan mengambil tindakan proaktif dengan menghantarnya kepada semua orang yang beliau rasakan perlu mengetahui mengenainya. Walau bagaimanapun, memo itu tidak semestinya digunakan dan kebiasaannya individu yang menerima memo tersebut termasuk Datuk Seri Najib, Datuk Azlin dan saya sendiri,” katanya.

Saksi itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat juga dokumen yang diterimanya daripada Jho Low bagi merancang langkah seterusnya untuk 1MDB dalam pelan rasionalisasi 1MDB pada 2015.

“Pada waktu itu, ada cadangan pertukaran ahli lembaga pengarah (BOD) yang kebanyakannya terdiri daripada individu daripada sektor swasta ditukar kepada individu yang terdiri daripada sektor kerajaan. Nama saya juga ada dicadangkan tapi saya tidak terpilih menjadi BOD member.

“Kebanyakan rancangan di dalam dokumen itu setahu saya ada dilaksanakan. Secara keseluruhannya dokumen tersebut menunjukkan perancangan-perancangan dan jawapan Jho Low dalam pemilihan BOD, isu PetroSaudi, isu bond IPIC/AABAR dan juga hutang-hutang yang  telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia bagi menjamin 1MDB,” jelasnya.

Amhari Efendi berkata terdapat nota maklumat bertajuk “1MDB Rationalisation Plan Overview: Accompanying Notes” yang telah diberikan kepadanya pada penghujung 2014 atau awal tahun 2015.

“la telah disediakan oleh Jho Low dan saya telah menerima nota ini sama ada melalui email atau melalui Datuk Azlin ataupun semasa perjumpaan kami bertiga di Prince  Hotel. Dokumen itu adalah pelan Jho Low untuk menyelesaikan hutang-hutang 1MDB dan ia menerangkan mengenai pelan rasionalisasi bagi 1MDB.

“Pelan berkenaan hangat diperkatakan pada waktu itu. Oleh kerana isu 1MDB pada waktu itu tidak baik, jadi cadangannya adalah untuk menjual segala aset dan liabiliti serta menutup 1MDB. Jho Low bercadang untuk menjual aset-aset dan liabiliti 1MDB  bagi menutup masalah hutang 1MDB. Contoh bagi projek Bandar Malaysia, cadangannya adalah untuk memindahkan Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah syarikat bernama Sg. Besi Development Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang akan ditubuhkan untuk membeli Bandar Malaysia,” katanya.

Amhari Efendi menjelaskan terdapat juga dokumen bertajuk Q&A: 1MDB/Yayasan yang turut disediakan oleh Jho Low.

“Dokumen yang mengandungi nota maklumat itu saya terima sama ada pada penghujung 2014 atau awal tahun 2015 yang membincangkan mengenai beberapa isu terkini berkaitan dengan 1MDB ketika itu. Antaranya berapa jumlah hutang terkini 1MDB, adakah 1MDB mampu untuk membayar semua hutang ini, mengapa pinjaman dibuat dalam USD, mengapa 1MDB menyimpan dana di Cayman Islands, siapakah Jho Low  dan peranannya di dalam 1MDB dan bagaimana 1MDB membantu Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata dalam dokumen itu menegaskan bahawa Jho Low tidak berperanan dalam 1MDB walaupun hakikatnya beliau merupakan perancang utama dalam urusan 1MDB secara sulit.

“Ia menegaskan bahawa 1MDB adalah satu projek yang berjaya dan jawapan ini dapat mengalihkan  tohmahan-tohmahan atau tuduhan-tuduhan ke atas Datuk Seri Najib berhubung masalah yang timbul dalam 1MDB,” katanya yang turut memaklumkan sejak 2009, beliau dan Datuk Azlin sudah terbiasa dengan dokumen sulit itu kerana beratus-ratus dokumen seperti itu diserahkan sendiri atau dihantar melalui email oleh Jho Low bagi melaksanakan arahannya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

— BERNAMA