Home English News Polis tolak kemungkinan Jho Low berada di Los Angeles

Polis tolak kemungkinan Jho Low berada di Los Angeles

662
0
SHARE
Ad

GEORGE TOWN:  Polis menolak kemungkinan bahawa ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low berada di Los Angeles, Amerika Syarikat seperti dilaporkan sebuah media antarabangsa bulan lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya yakin Jho Low yang dikaitkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih bersembunyi dan mendapat perlindungan di sebuah negara.

Beliau yang enggan mendedahkan negara berkenaan berkata pihaknya kini sedang berunding dengan pihak berkuasa negara itu bagi membawa pulang Jho Low ke Malaysia.

#TamilSchoolmychoice

“Saya tak jangkalah Jho Low selicik itu boleh menyelinap masuk ke Amerika kerana secara logiknya kawalan keselamatan Amerika ini amat ketat sekali. Kalau itu berlaku di bawah pihak berkuasa Amerika, ia amat memalukan.

“Tapi saya yakin tidak, dia masih di sana, di tempat yang saya sebut itulah dan mendapat perlindungan. Masih terlalu awal untuk saya nyatakan di mana…mungkin di Kazakhstan atau di tempat lain.

“Saya masih bersabar lagi memberikan masa untuk mereka. Kita bekerjasama dengan mana-mana negara dalam hal-hal urusan kepolisan. Saya akan cuba sehabis baik untuk membawa Jho Low pulang. Saya tidak sebut dia akan pulang hujung tahun ini, tapi saya telah tetapkan sasaran. Dia patut dibicarakan di negara ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri sambutan Hari Peringatan Pasukan Polis Marin ke-72 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban dekat sini.

Pada 28 Sept, sebuah portal hiburan di Amerika Syarikat mendakwa Jho Low dipercayai menghadiri satu majlis makan malam tertutup di Hollywood Hills.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata polis akan memanggil Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Zainal Kling untuk memberi keterangan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, dalam masa terdekat.

“Sesiapa sahaja akan dipanggil untuk beri keterangan dalam masa terdekat,” katanya.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai kongres yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor pada Ahad lepas itu menyentuh isu berkaitan Perlembangaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

— BERNAMA