Home English News Calon PH yakin kehadiran Dr Mahathir mampu tarik sokongan pengundi

Calon PH yakin kehadiran Dr Mahathir mampu tarik sokongan pengundi

731
0
SHARE
Ad

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini melihat kehadiran Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu kempen beliau esok akan menjadi faktor untuk menarik sokongan pengundi kepada PH.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada fakta bahawa Perdana Menteri adalah seorang negarawan yang dikenali ramai, bukan sahaja dalam negara malahan luar negara.

“Sebagai calon, ya… kita memang harapkan ia memberikan impak kepada pengundi itu sendiri bagi memaklumkan kepada orang ramai tentang beberapa isu, antaranya beliau kini bersama dengan PH dan bukan lagi di bawah Barisan Nasional (BN).

#TamilSchoolmychoice

“Dalam masa sama pengundi juga sewajarnya memberi sokongan kepada PH kerana Tun M merupakan pemimpin PH dan Perdana Menteri ketika kini dan kita lihat usaha serius telah pun dibuat untuk memulihkan keadaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pusat pengundian awal di Bangunan Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Pada sidang selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Putrajaya semalam, Dr Mahathir berkata masih ada penduduk Tanjung Piai yang menganggap beliau masih Presiden UMNO.

Sehubungan itu, beliau akan turun berkempen di Tanjung Piai esok dan harap pada masa itu penduduk Tanjung Piai tidak akan menganggap beliau sebagai Presiden UMNO lagi.

Pengundian awal hari ini yang melibatkan anggota dan pegawai polis bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang ini.

Sebanyak dua saluran iaitu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup dan Pekan Nanas telah dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membolehkan mereka mengundi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan Karmaine menerima tentangan daripada calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

— BERNAMA