TANAH RATA — Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional(BN) perlu duduk semeja untuk menggubal dasar baharu pilihan raya supaya segala peraturan pilihan raya menjadi lebih jelas kepada semua pihak, kata bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata ia penting dalam melihat semula beberapa isu, antara lain seperti penggunaan jentera kerajaan dan penganjuran program-program melibatkan anggota Kabinet ketika tempoh berkempen sesuatu pilihan raya berlangsung.
“Ini adalah antara pembaharuan yang saya cadangkan untuk pastikan perkara ini jelas, apa boleh dan apa tak boleh,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Anggota Parlimen Rembau, Negeri Sembilan turun membantu kempen BN bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di beberapa lokasi, di sini, sejak awal pagi tadi.
Mengulas mengenai PRK berkenaan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata beliau melihat pilihan raya berkenaan boleh jadi kayu ukur kepada penerimaan rakyat terhadap PH sejak gabungan berkenaan meneraju kerajaan pusat.
“Maka sebab itu Tun Mahathir Mohamad (Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH) rasa penting untuk beliau sendiri turun berkempen,” katanya.
PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Ramli Md Nor, M. Manogaran (PH) dan dua calon BEBAS iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.
— BERNAMA