Home English News Laporan kimia, perubatan libatkan exco diserah kepada pengarah pendakwaan

Laporan kimia, perubatan libatkan exco diserah kepada pengarah pendakwaan

907
0
SHARE
Ad
Gambar Ehsan: Malay Mail

IPOH: Polis akan menyerahkan laporan kimia dan perubatan berhubung kes seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol seorang pembantu rumahnya kepada Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menerima laporan itu daripada Jabatan Kimia pada Isnin lepas.

“Laporan kimia dan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital telah kita peroleh dan siasatan telah dibawa kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

#TamilSchoolmychoice

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Razarudin berkata laporan perubatan itu kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan dan keputusan seterusnya.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata pihak polis masih giat mengesan empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kes samun barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini pada awal pagi Isnin lepas.

“Kes itu masih dalam siasatan dan kita yakin akan berjaya mengenal pasti semua suspek dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an sedang dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki dua kereta untuk dihantar ke Kelantan sebelum dirempuh sebuah lori dinaiki suspek yang kemudiannya melarikan empat beg berisi barang kemas itu.

— BERNAMA