Home English News Najib gagal ketepikan 7 pertuduhan bersabit SRC

Najib gagal ketepikan 7 pertuduhan bersabit SRC

699
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Tun Razak untuk mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali  bersetuju  bahawa  alasan  pertuduhan terbabit cacat adalah tidak berasas.

Beliau juga berkata pertuduhan terhadap Najib tidak  bersifat  pendakwaan dua kali (double jeopardy)  memandangkan setiap pertuduhan adalah berbeza dan sabitan hanya berlaku jika pihak pendakwaan membuktikan setiap pertuduhan.

#TamilSchoolmychoice

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan kesemua dokumen kepada pembelaan. Setakat ini, perbicaraan sudah berlangsung selama sembilan hari dan 21 saksi telah memberi keterangan dengan pemeriksaan balas yang ekstensif bersama-sama dokumen daripada saksi yang dibenarkan oleh mahkamah ini.

“Sukar untuk menerima tertuduh telah dikelirukan,” kata hakim.

Beliau juga berkata pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa adalah kesalahan-kesalahan yang berbeza dan tiada kependuaan. “Sehubungan itu, permohonan ini ditolak,” katanya.

Pada 3 April, Najib memfailkan notis usul memohon  mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya atas alasan  pertuduhan terbabit menyalahgunakan proses mahkamah serta defektif dari segi bentuk dan substans.

Mohd Nazlan pada hari sama menolak permohonan Najib agar notis usulnya didengar dahulu sebelum perbicaraan berlangsung.

Jumaat lepas, hakim menetapkan hari ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu selepas mendengar hujah peguam-peguam  Najib – Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin – serta pendakwa raya ad hoc Datuk V. Sithambaram.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

— BERNAMA