Home English News Ketua Menteri Sarawak umum rombakan kabinet baharu

Ketua Menteri Sarawak umum rombakan kabinet baharu

1673
0
SHARE
Ad

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengumumkan  rombakan kabinet negeri yang antara lain menyaksikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua menggantikan Datuk Seri Wong Soon Koh.

Soon Koh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dan juga Menteri Kewangan Kedua pada 15 Julai lalu.

#TamilSchoolmychoice

Selain portfolio baharu itu, Uggah juga kekal sebagai Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ketika mengumumkan barisan baharu kabinet negeri pada sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini, berkata ia adalah seiring dengan usaha Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Dalam usaha mencapai ke arah matlamat tersebut, katanya, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap lima bidang  iaitu meningkatkan aktiviti eksport dan import, merancakkan  industri minyak dan gas, memodenkan sektor pertanian, pembaharuan bandar dan pengangkutan serta memajukan sektor pelancongan.

Dalam rombakan kabinet tersebut turut menyaksikan portfolio baharu diwujudkan iaitu Kementerian Pengangkutan yang diterajui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin, yang dilantik sebagai menteri penuh.

Beliau akan dibantu Menteri Muda, Datuk Dr Jerip Susil.

Lee, sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan kini tempat beliau diganti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Seterusnya, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Masing dilantik sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan juga memegang portfolio baharu iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan selain kekal sebagai Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber.

Dalam pada itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan kini dipecahkan kepada dua kementerian, iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri bagi kedua-dua portfolio ini masih dikekalkan iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sementara itu, Abang Johari turut mengumumkan pelantikan Datuk Jaul Samion sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani yang bersara bulan lalu.

Portfolio bagi Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) adalah Abdullah Saidol manakala portfolio menteri dan menteri muda yang lain dikekalkan.

Abang Johari turut mengumumkan jawatan Datuk Bandar Kuching Utara kini disandang oleh bekas timbalan setiausaha kewangan negeri, Datu Junaidi Reduan yang menggantikan Datuk Abang Wahap Abang Julai.

Bekas Ahli Lembaga Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Wee Hong Seng dilantik sebagai Datuk Bandar Kuching Selatan, menggantikan Datuk James Chan.

Dalam pada itu, Clarence Ting dilantik sebagai  Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, menggantikan Datuk Tiong Thai King.

— BERNAMA