PONTIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat supaya tidak keliru dengan penipuan pembangkang yang menunjukkan seolah-olah beliau masih pemimpin kerajaan lama sedangkan kini beliau adalah perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dr Mahathir yang juga pengerusi PH berkata pembangkang menggunakan taktik itu dalam cubaan untuk mengelirukan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Tanjung Piai ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu sedang berjalan ketika ini.
“Ada satu penipuan yang dibuat menunjukkan gambar saya sebagai perdana menteri berbaju biru dan kononnya saya presiden UMNO, pengerusi BN (Barisan Nasional) .
“Saya bukan presiden UMNO dan bukan pengerusi BN (lagi). Saya adalah perdana menteri kerajaan PH. Ada sesetengah orang yang masih ingat saya ini presiden UMNO, saya adalah pengerusi PH dan saya dipilih untuk menjadi perdana menteri,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sarapan Pagi bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Pekan Nanas, dekat sini, hari ini.
Ada dakwaan bahawa segelintir penduduk di kawasan Parlimen Tanjung Piai terutama di kawasan yang terletak agak jauh di luar bandar masih beranggapan Dr Mahathir masih bersama BN dan UMNO.
Justeru itu, kehadiran beliau di Pontian bagi menjelaskan perkara itu kepada rakyat sekaligus memberi sokongan kepada calon PH Karmaine Sardini, 66. Pengundian PRK Tanjung Piai akan diadakan Sabtu ini.
Pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir berkata pihaknya turut mendapati adanya risalah supaya menyokong calon PH dengan memaparkan gambar Karmanine, tetapi turut mempunyai logo “Buy Muslim First” yang ternyata bukan daripada PH.
“Saya harap, orang di sini janganlah dengar hasutan daripada parti Barisan Nasional, dia tipu macam macam. Hari tu tunjuk gambar saya pakai baju biru dan di belakang tu macam saya kempen untuk calon BN nombor dua.
“Itu satu penipuan, hari ni dapati ada risalah yang dikeluarkan suruh sokong Haji Karmaine tapi di sebelah adalah logo ‘‘Buy Muslim First’’. Sengaja nak bagi orang Cina marah,” kata perdana menteri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak bimbang penipuan itu akan memperdayakan pengundi Tanjung Piai kerana rakyat didapati lebih bijak.
“Saya tak ingat macam tu, pengundi Tanjung Piai bukan bodoh. Mereka sudah melalui 14 pilihan raya. Mereka arif dengan penipuan. Kali ini BN yang menipu. Kita dapati orang Tanjung Piai berhati-hati dalam perkara itu (tentang memilih wakil rakyat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada rakyat dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai akan terpedaya dengan penipuan pihak pembangkang dan memilih calon BN.
Karmaine menghadapi cabaran daripada calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz dan dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.
— BERNAMA