Home English News KKM terima lebih 50 aduan berkaitan pil gugur kandungan dalam talian

KKM terima lebih 50 aduan berkaitan pil gugur kandungan dalam talian

1136
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 51 aduan berkaitan penjualan pil gugur kandungan secara dalam talian yang disalahgunakan untuk aktiviti pengguguran haram dan penggunaan yang tidak dibenarkan  undang-undang sepanjang tahun 2018 hingga 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyatan hari ini berkata, sebanyak 24 serbuan menyasarkan produk itu dilaksanakan dari 2016 hingga 2019 yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM95,233.

“Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 302 laman sesawang turut dikesan melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan KKM dan daripada jumlah itu, 98 laman sesawang telah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Facebook, Twitter, dan YouTube untuk tindakan penutupan,” katanya.

#TamilSchoolmychoice

Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) turut menghantar notifikasi kepada pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia agar menurunkan iklan-iklan berkenaan pil gugur janin.

Beliau berkata pil-pil itu disyaki diperolehi secara haram dari luar negara melalui pembelian secara dalam talian atau penyeludupan dengan penghantarannya kepada pembeli dilakukan menggunakan perkhidmatan pos dan kurier.

“Untuk itu, KKM akan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dan kurier dalam usaha menyekat pembelian pil gugur secara dalam talian atau penyeludupan dari luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata KKM memandang serius perkara itu  kerana  penjualan pil pengguguran janin seperti Misoprostol dan  Mifepristone secara dalam talian serta pengambilannya tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak, pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.

Pengambilan pil gugur juga, jelasnya, boleh menyebabkan kelahiran bayi cacat sekiranya kandungan itu tidak berjaya digugurkan setelah ubat gugur kandungan itu diambil.

“Misoprostol merupakan produk tidak berdaftar dan pemegang pendaftaran produk itu telah membatalkan pendaftaran produk itu dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada November 2016, sekali gus tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia.

“Bagaimanapun, ia sering disalahgunakan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan pengguguran janin,” katanya.

Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” kata beliau.

— BERNAMA