Beliau berkata cadangan itu adalah rahsia dan terserah kepada Seri Paduka untuk membuat keputusan.
“Yang di-Pertuan Agong ingin mendapat tahu dan minta kita menamakan (calon) perdana menteri atau kita mencadangkan untuk membubarkan Parlimen. Cadangan itu adalah rahsia jadi terpulang kepada Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil tindakan yang perlu hasil daripada interview dengan semua Ahli Parlimen,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Ismail merupakan antara 90 MP dalam kumpulan pertama daripada 222 MP yang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini berhubung situasi semasa politik negara. Kumpulan kedua akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tiada perbincangan terperinci dibuat dalam pertemuan selama kira-kira tiga minit itu dan beliau hanya perlu menurunkan tandatangan pada borang yang diberikan.
“Ikut proses apa yang ditetapkan. Setiap orang dalam dua tiga minit. Takde, takde (perbincangan) ada borang saja untuk kita tandatangan,” katanya sebelum beredar meninggalkan kawasan Istana Negara.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi pula bersyukur Al-Sultan Abdullah memahami situasi yang sedang berlaku ketika ini.
“Alhamdulillah, Tuanku amat baik sekali dan mengerti apa situasi yang kita hadapi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang komen kerana perlu bergegas ke Pusat Dagangan Dunia Putra untuk sidang media.
Ahli Parlimen Air Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu media bahawa beliau menghormati sebarang keputusan yang bakal diumumkan oleh Seri Paduka.
Lebih daripada 50 petugas media berkampung di perkarangan Pintu 2 Istana Negara sejak pagi tadi bagi membuat liputan berhubung perkembangan terkini kemelut politik negara selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri interim.
— BERNAMA