Home English News Covid-19: Korea Selatan lapor 4 kes import, sifar jangkitan tempatan

Covid-19: Korea Selatan lapor 4 kes import, sifar jangkitan tempatan

1009
0
SHARE
Ad
Gambar Ehsan: REUTERS

SEOUL: Korea Selatan melaporkan empat lagi kes baharu COVID-19 pada Khamis, melibatkan kes import dan sifar jangkitan tempatan, pertama kali sejak wabak mula melanda.

Empat kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 10,765, lapor agensi berita Yonhap.

Ia adalah kenaikan harian terendah dalam tempoh lebih dua bulan, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC).

#TamilSchoolmychoice

Walaupun terdapat tanda-tanda pengurangan jangkitan, pihak berkuasa kesihatan tetap berjaga-jaga terutamanya ketika cuti umum.

Peningkatan jumlah kes import masih menjadi kebimbangan pihak berkuasa Korea Selatan. Empat kes baharu itu menjadikan jumlah kes import sebanyak 1,065. Lebih 90 peratus pesakit adalah warga Korea Selatan.

Daegu, wilayah paling teruk dilanda wabak itu, terletak 300 kilometer di tenggara Seoul, tidak mencatatkan sebarang kes baharu. Bandar ini menyumbang 64 peratus daripada keseluruhan kes COVID-19 di Korea Selatan.

Negara dengan jumlah penduduk kira-kira 50 juta itu telah menjalankan saringan COVID-19 terhadap 619,881 orang, sejak 3 Januari. Korea Selatan melaporkan kes pertama COVID-19 pada 20 Januari.

Jika, jumlah jangkitan baharu terus mendatar menjelang akhir musim percutian, Korea Selatan merancang untuk mengurangkan penjarakan sosial.

Selain itu, Korea Selatan merancang menamatkan peraturan kuarantin, bermakna sekolah dan tempat kerja kembali dibuka seperti biasa dengan mengamalkan langkah berjaga-jaga.

Pegawai kesihatan negara itu pesimistik keadaan akan kembali seperti sediakala, di tengah-tengah kebimbangan banyak pihak kemungkinan berlakunya gelombang kedua jangkitan akhir tahun ini.

— BERNAMA-NNN-YONHAP