Home English News Permaisuri Agong akhiri penantian selama 16 tahun seorang wanita untuk dapatkan cahayamata

Permaisuri Agong akhiri penantian selama 16 tahun seorang wanita untuk dapatkan cahayamata

1861
0
SHARE
Ad

Oleh C. Vinoothene

KUALA LUMPUR — Selama 16 tahun, wanita ini berusaha mendapatkan nasihat daripada berpuluh-puluh pakar sakit puan di samping melawat kuil yang tidak terkira banyaknya untuk memohon doa. Sungguh, Kamala Perumal memang teramat inginkan seorang anak.

Pada umur 38 tahun, Kamala terasa seolah-olah beliau berada dalam satu perlumbaan yang beliau sendiri tidak berdaya untuk melawan masa, serta digusari pula dengan sikap masyarakat yang berulang kali melaungkan yang ‘masanya’ sedang berdetik.

#TamilSchoolmychoice

Tatkala beliau hampir berputus asa untuk mengandung, datang pertolongan yang tidak lain dan tidak bukan daripada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang kini ialah Raja Permaisuri Agong.

Guru yang telah bersara itu, kini berusia 53 tahun, mengimbas kembali hari bersejarah itu yang berlaku pada 2005 apabila beliau dan suami mendapat tahu bahawa Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) dinaungi oleh Tunku Azizah yang seterusnya membantu beliau untuk mengandung dengan menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Kamala menyamakan kebajikan yang dihulur oleh Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong ini seumpama dengan Dewi Letchumi, Tuhan Kesejahteraan Hindu.

“Suami saya, Raventeran Vadivelu, membacara satu artikel mengenai yayasan ini dan kami terus memohon. Selepas beberapa mencuba dan berdoa, rasanya seolah-olah Dewi Letchumi telah datang di hadapan pintu kami untuk menyahut doa kami,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Kamala, yang juga kumpulan pertama wanita menerima rawatan IVF menerusi yayasan itu, mengingat kembali bagaimana tekanan yang dirasainya terhadap komen yang tidak berperasaan mengenai statusnya yang tidak mempunyai anak.

Bagaimanapun, Tunku Azizah, tidak putus-putus memberi semangat dan galakan kepadanya.

“Baginda akan memberitahu saya agar tidak berputus asa dan memberi jaminan bahawa saya berada di tangan yang baik, dengan panel doktor dan teknologi yang tepat. Baginda juga kemudian berkongsi pengalamannya,” kata Kamala.

Percubaan kali pertama tidak berjaya bagi Kamala, tetapi beliau bernasib baik kerana kali kedua, akhirnya beliau mencapai impian untuk dikurniakan cahayamata.

Malahan ketika itu, Tunku Azizah akan memastikan Kamala menjaga kesihatan diri terutama semasa tiga bulan pertama mengandung.

“Saya masih ingat Permaisuri Agong akan sering memeriksa saya semasa mengandung. Malahan Baginda akan menulis surat kepada majikan saya agar membenarkan saya bercuti selama tiga bulan bagi mengelakkan saya bergerak terlalu banyak. Baginda juga memberitahu saya agar jauhi minyak wangi,” katanya dengan diiringi tawa kecil.

Hari ini, Kamala bangga menjadi ibu kepada anak berumur 14 tahun, yang dinamai Prasath Kumar Raventeran.

Pada Hari Ibu ini, Kamala berharap kisah beliau akan memberi harapan dan keyakinan kepada wanita yang melalui perjuangan yang serupa.

“Terdapat ramai wanita di luar sana yang menangis bersendirian, berusaha untuk dikurniakan anak. Kepada wanita ini, tolong jangan berputus-asa. Terus mencuba, kerana tiada yang mustahil dengan banyak berdoa – dan kemajuan saintifik

“Jika itu juga gagal, sentiasalah ingat bahawa terdapat ramai anak di luar sana yang memerlukan ibu,” kata Kamala dengan linangan air mata semasa temubual itu.

Kamala turut berkongsi kisah beliau dalam media sosial menerusi laman komuniti iaitu Malaysian Indian Anthology.

— BERNAMA