Home English News Dapatkan imunasi anak tahun 1 mengikut jadual- KKM

Dapatkan imunasi anak tahun 1 mengikut jadual- KKM

849
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di Tahun 1 diminta mendapatkan imunisasi anak masing-masing di fasiliti kesihatan berhampiran apabila menerima jadual janji temu perkhidmatan itu melalui pihak sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah, berkata dalam tempoh negara kini menghadapi wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penyampaian perkhidmatan imunisasi di sekolah tidak dapat dijalankan seperti biasa kerana sesi persekolahan masih belum bermula.

Katanya, perkhidmatan itu melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (measles), rubella, difteria dan kancing gigi (tetanus) untuk murid Tahun 1, imunisasi Human Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan Tingkatan 1 dan imunisasi ATT (dos tambahan vaksin tetanus) bagi murid Tingkatan 3.

#TamilSchoolmychoice

“Perkhidmatan imunisasi kepada murid sekolah masih lagi diteruskan dan semasa tempoh penutupan sekolah, perkhidmatan imunisasi ini akan diberikan di fasiliti kesihatan kerajaan seperti Klinik Kesihatan atau Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau pejabat kesihatan daerah yang berdekatan. Pada tahun ini, keutamaan diberikan kepada pemberian imunisasi untuk murid Tahun 1.

“Untuk tujuan ini, Kementerian Kesihatan juga telah mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk membantu dalam menyelaras pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkhidmatan imunisasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sokongan berterusan bagi program imunisasi daripada semua pihak sangat penting demi melindungi kesihatan dan masa depan murid sekolah.

— BERNAMA