Home English News Conteng mural pemimpin: Polis ambil keterangan beberapa individu

Conteng mural pemimpin: Polis ambil keterangan beberapa individu

739
0
SHARE
Ad

SHAH ALAM- Beberapa individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menconteng mural gergasi pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini, Julai lepas, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang giat dijalankan berikutan kesukaran untuk mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi kejadian yang didapati berkualiti rendah selain kawasan kejadian sedikit terpencil dan gelap.

“Namun begitu, kita ada cara lain untuk menjejaki suspek terlibat dan serahkan kepada kami untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Neighbourhood Watch’ di sini, hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Dalam kejadian 20 Julai lepas, mural gergasi memaparkan potret antaranya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

Kejadian vandalisme ke atas mural hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27, disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, Baharudin turut menasihatkan orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya memanfaatkan aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) kerana identiti mereka akan sentiasa dilindungi.

— BERNAMA