PUTRAJAYA — Rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura dinasihat agar mendaftar di portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my) untuk mendapatkan akses kepada pelbagai inisiatif pekerjaan yang disediakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat Perkeso untuk membuat pendaftaran atau mendaftar secara dalam talian.
“Pendaftaran di portal MyFutureJobs adalah percuma dan antara perkhidmatan yang disediakan ialah penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya serta Program Pasaran Buruh Aktif,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata KSM telah berhubung dengan pelbagai pihak berkaitan di Johor Bahru dan kerajaan Singapura bagi mengumpul maklumat mengenai pekerja Malaysia yang terjejas untuk menyalurkan bantuan segera seperti peluang pekerjaan semula.
Perkeso juga telah diarah melaksanakan program khusus bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan di Singapura agar mereka diberi peluang pekerjaan semula atau menyertai program latihan semula untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia termasuk mengadakan Karnival Pekerjaan di seluruh Johor, katanya.
Menurutnya, Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB), satu lagi agensi KSM, sedang bekerjasama rapat dengan Perkeso dalam menyediakan program latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran di bawah Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya), antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
— BERNAMA