JOHOR BAHRU — Penjual perlu lebih prihatin dan tidak mementingkan keuntungan semata-masa terutama pada musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr S. Ramakrishan berkata pengguna juga dinasihatkan supaya bijak dalam berbelanja dan membuat perbandingan sebelum membuat pembelian.
“Penjual perlu pentingkan hal ehwal pengguna dan jangan ambil banyak untung. Jika pengguna gembira, dia akan beli lebih, kalau harga tinggi pengguna akan kurangkan pembelian,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2019 peringkat negeri di Kip Mart Tampoi, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Mohd Khairul Bohro.
Menurut Ramakrishnan, terdapat 24 jenis barangan SHMMP dikenal pasti di negeri ini yang berkuat kuasa selama 30 hari, bermula hari ini sehingga 19 Jun.
“Bagi pelaksanaan skim tahun ini, terdapat perubahan barangan berbanding pelaksanaan pada tahun 2018 iaitu ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah.
“Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi Price Catcher bagi membuat perbandingan sepanjang skim ini dijalankan,” katanya.
— BERNAMA