Home English News Pelantikan KP SPRM: Dr Mahathir sedar pimpin Malaysia baharu di bawah PH

Pelantikan KP SPRM: Dr Mahathir sedar pimpin Malaysia baharu di bawah PH

895
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sedar bahawa beliau kini memimpin Malaysia Baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya kerajaan lama di bawah Barisan Nasional, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau berkata, ini boleh dilihat dalam pelbagai insiden sebelum ini misalnya dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen (PAC).

#TamilSchoolmychoice

Justeru, Mohamed Hanipa yakin Dr Mahathir, anggota kabinetnya serta pemimpin tertinggi PH akan berjaya menyelesaikan kemelut pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dengan baik dan berhemah.

“Oleh yang demikian, untuk berlaku adil kepada Dr Mahathir, pihak lain juga sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan Perdana Menteri juga ada bersamanya keistimewaan tertentu yang mungkin tidak ada pada jawatan lain.

“Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat Perdana Menteri “menyalahgunakan” hak istimewa itu dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh “disalahgunakan”,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Hanipa berkata beliau telah menerima banyak mesej dan aduan dari pelbagai pihak mengenai pelantikan  Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Majoriti mesej dan aduan yang diterima, pada dasarnya, tidak mempertikaikan kelayakan atau kewibawaan Latheefa untuk memegang jawatan penting itu.

“Aduan yang saya terima kebanyakannya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan. Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya, isu dakwaan perlanggaran janji bertulis di dalam buku Manifesto PH, isu ketiadaan perbincangan dalam kabinet dan/atau Majlis Presiden PH , isu kebimbangan “lack of impartiality” di pihak Latheefa, mengambil kira latarbelakang beliau, dan pelbagai isu yang lain,” jelasnya.

Mohamed Hanipa berkata, beberapa pihak seperti Majlis Peguam dan Bersih 2.0 juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang juga boleh dikatakan bersifat kritikal terhadap pelantikan Latheefa. Secara jujur, saya melihat ada merit yang agak kuat pada alasan mereka.

“Ada juga pihak yang menyatakan, mengambil kira perkiraan latar belakang Latheefa sebagai peguam hak asasi manusia sebelum ini, maka jawatan yang lebih sesuai dan wajar bagi beliau adalah sebagai Ketua Suruhanjaya di badan Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan bukannya SPRM,” katanya.

Sebagai sebuah kerajaan yang peka pada roh dan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang, Mohamed Hanipa berkata beliau percaya kerajaan di bawah Dr Mahathir tidak akan perlecehkan begitu sahaja “suara-suara” itu.

“Saya juga percaya kerajaan Malaysia baharu ini bukanlah kerajaan yang memandang “enteng” (mudah) terhadap janji-janji dalam manifesto seperti mungkin kerajaan sebelum ini.

— BERNAMA