Home English News Nilai pelaburan usahawan PSI dengan 1MDB US$2.5 Bilion

Nilai pelaburan usahawan PSI dengan 1MDB US$2.5 Bilion

541
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa PetroSaudi International Ltd (PSI)  membina kerjasama pelaburan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan nilai US$2.5 bilion di mana 1MDB akan menyuntik modal sebanyak US$1 bilion secara tunai.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB,  Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang mendedahkan perkara itu berkata PSI pula akan melabur aset mereka yang bernilai US$2 billion yang mana kedua-duanya  (PSI dan 1MDB) bersetuju untuk memberi diskaun dengan meletakkannya pada nilai US$1.5 bilion sahaja.

Membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB, Shahrol Azral berkata, ia bagi membolehkan 1MDB mendapat pegangan saham 40% dalam projek usahasama tersebut.

#TamilSchoolmychoice

Terdahulu, saksi pendakwaan kesembilan itu mengesahkan surat daripada PSI bertajuk “An initial US$2.5billion joint venture between PSI and 1MDB” bertarikh 28 Ogos, 2008 yang dialamatkan  kepada Najib.

Katanya, surat itu yang ditandatangani Tarek Obaid iaitu CEO PSI kepada Najib yang ditunjukkan kepadanya oleh Jho Low.

“Pada perenggan pertama surat tersebut jelas menyatakan bahawa Tarek Obaid turut berada bersama ketika pertemuan di antara Najib dengan Prince Turki yang berlaku pada Ogos 2009.

“Perenggan yang sama turut menunjukkan bahawa sebelum pertemuan antara mereka bertiga, satu pertemuan di antara Najib dengan His Majesty King Abdullah Abdul Aziz Al-Saud telah berlaku pada Julai 2009 dengan tujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara syarikat-syarikat dari Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Menjelaskan mengenai kerjasama pelaburan antara PSI dengan 1MDB, saksi berkata PSI berjanji untuk menyediakan laporan penilaian ke atas aset yang mereka akan laburkan oleh firma penilai antarabangsa yang mempunyai reputasi yang baik.

“PSI juga memerlukan perjanjian usahasama ditandatangani pada atau sebelum 28 Sept 2009. Ini adalah salah satu sebab mengapa 1MDB kemudiannya telah mengalami tekanan masa untuk menepati tarikh yang telah ditetapkan.

“Ketika menunjukkan surat-surat ini, Jho Low menekankan kepada saya bahawa kedua-dua pemimpin iaitu Najib dan Raja Abdullah sangat bersemangat untuk mewujudkan satu usahasama pelaburan di antara kedua-dua kerajaan dan kami selaku pihak pengurusan 1MDB akan bertanggungjawab untuk merealisasikan hasrat kedua-dua pemimpin tersebut.

“Jho Low ketika itu juga ada menyatakan kepada saya bahawa surat-surat tersebut telah diserahkan kepadanya oleh Najib sendiri. Selain itu, Jho Low juga ada menyatakan bahawa beliau mempunyai ‘networking’ dengan PSI iaitu Prince Turki.

“Jho Low menekankan bahawa ini adalah inisiatif strategik Kerajaan kepada Kerajaan maka ia harus disegerakan,” katanya.

Tambah beliau, setelah mendengar penjelasan daripada Jho Low, beliau yakin bahawa usahasama ini perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah hasrat Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia iaitu Najib.

“Sebagai CEO 1MDB, saya  tertakluk kepada Artikel 117 dalam M&A Syarikat. Kedua, kerana ini merupakan satu perbincangan rasmi dua hala kerajaan kepada kerajaan, dan bukannya  satu urusan perniagaan yang biasa.

“Atas sebab-sebab itulah dan kerana ia juga melibatkan ‘national interest’ saya telah mengambil pendirian untuk memastikan kelancaran usahasama ini,” katanya.

Katanya, sumber kewangan awal 1MDB hanyalah dana bon terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) sahaja.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.

— BERNAMA