Home English News Program penghayatan Rukun Negara di pusat beli belah dua kali sebulan

Program penghayatan Rukun Negara di pusat beli belah dua kali sebulan

1011
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Kerajaan akan berbincang dengan pemilik pusat membeli belah utama bagi menggunakan premis tersebut sebagai lokasi penganjuran program berkaitan Rukun Negara sekurang-kurangnya dua kali sebulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Dengan lebih 70 peratus pengunjung mengunjungi pusat membeli-belah pada hujung minggu, ia adalah platform terbaik untuk digunakan bagi mempromosi program penghayatan Rukun Negara kepada rakyat, katanya.

“Beberapa pemilik telah menyatakan kesediaan untuk premis mereka dijadikan lokasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penghayatan Rukun Negara di Shafbury Putrajaya, di sini hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Selain Shafbury Putrajaya, katanya pusat membeli belah Alamanda di sini juga telah dipilih sebagai lokasi perintis pelaksanaan program penghayatan Rukun Negara itu yang telah pun bermula bulan lepas.

Waytha Moorthy berkata pihaknya melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan merangka pelbagai program berkaitan Rukun Negara dengan melibatkan semua premis perniagaan di pusat membeli belah tersebut.

“Apabila semua pihak bergabung melaksanakan program penghayatan rukun negara di dalam satu bangunan yang menjadi tumpuan umum, maka impaknya akan lebih terasa kepada masyarakat,” katanya yang memegang portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif iKHASAS Group Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata selaku pemilik bangunan Shafbury di Putrajaya dan Cyberjaya, pihaknya sedia membantu kerajaan mempromosikan keharmonian, keamanan dan perpaduan kaum melalui program penghayatan Rukun Negara di premisnya.

— BERNAMA