Home English News Mitra biayai 100 pelajar hadapi revolusi industri 4.0

Mitra biayai 100 pelajar hadapi revolusi industri 4.0

128
0
SHARE

CYBERJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) membiayai 100 pelajar dengan peruntukan RM600,000 dalam program persijilan profesional Huawei, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Waytha Moorthy berkata pembiayaan Mitra bagi program persijilan itu memberi fokus kepada pelajar daripada golongan B40 serta menunjukkan minat mendalam dalam bidang yang selari dengan revolusi Industri 4.0.

Menurutnya, program persijilan profesional Huawei iaitu Huawei Certified ICT Associate dan Huawei Networking Technology and Device (HCIA-HNTD) itu bermula Jun lepas dan pelajar terlibat diberi latihan sehingga dua bulan.

Daripada jumlah itu, seramai 41 orang telah berjaya mendapat pekerjaan dengan syarikat berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka termasuk Dell, Petronas, Maxis dan Huawei, katanya.

“Ini adalah satu langkah oleh Mitra untuk mengurangkan kadar pengangguran kalangan graduan serta memperkasa anak muda hadapi cabaran revolusi Industri 4.0,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat kecemerlangan Luminous Systems, iaitu pusat pembelajaran diiktiraf Huawei, di sini hari ini.

Ditanya mengenai peruntukan RM100 juta bagi Mitra yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas, Waytha Moorthy berkata ia akan digunakan untuk membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat India.

“Memandangkan keadaan kewangan semasa, Kementerian Kewangan hanya boleh memperuntukkan RM100 juta tetapi apa yang lebih penting ialah memanfaatkan sepenuhnya dana itu dan membawa perubahan dalam kehidupan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Comments