KUALA LUMPUR — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berharap sambutan perayaan Deepavali atau pesta cahaya dapat mengukuhkan semangat perjuangan menegakkan keadilan untuk menumpaskan kezaliman.
Beliau berkata menerusi sejarah peradaban agung India, rakyat dapat mempelajari pelbagai hikmah dan nilai sejagat, antara nilai tersebut adalah perjuangan menegakkan keadilan.
“Perayaan cahaya, Deepavali, adalah semangat dari kejayaan tersebut. Ia juga merupakan mesej yang universal – ‘Sanatama Dharma’ – bagi umat manusia yang sentiasa digugat oleh kepalsuan dan kezaliman.
“Justeru itu pencarian kebenaran dan perjuangan keadilan sentiasa akan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata, bangsa Malaysia bukan sahaja sentiasa dalam perjuangan membangun ekonomi, malah perlu berjuang untuk memperkukuh persahabatan dan perpaduan.
“Bersama rakan-rakan berketurunan India, Hindu, Sikh dan lain-lain, kita bersama merayakan Deepavali sebagai bangsa Malaysia.
“Selamat Hari Deepavali, Deepavali Nal Vaalthukal,” katanya.
— BERNAMA