Home English News Calon, parti diminta jaga tindakan penyokong- SPR

Calon, parti diminta jaga tindakan penyokong- SPR

629
0
SHARE
Ad

PONTIAN: Semua calon dan parti politik yang terlibat dengan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok, diingatkan supaya menjaga tingkah laku penyokong mereka.

Ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, tanpa berlakunya kejadian huru hara atau pun ketegangan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata dalam masa sama, lebih daripada 400 anggota polis akan ditugaskan menjaga keselamatan sepanjang tempoh berkenaan.

#TamilSchoolmychoice

“Sekarang ini mengikut undang-undang mereka (calon) boleh membawa seberapa ramai penyokong mereka, tetapi saya rasa tanggungjawab untuk menjaga penyokong agar keadaan tidak menjadi huru hara atau penyokong melakukan apa-apa ketegangan adalah pada pihak yang berkenaan, iaitu mereka yang membawa penyokong. Mereka yang perlu bertanggungjawab tetapi  SPR dengan kerjasama pihak polis, kita pun akan berusaha melancarkan hari pencalonan, untuk menjaga ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan akhir di Pusat Penamaan Calon PRK itu di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar; Pengarah SPR negeri Shafie Taib dan Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh.

Azhar berkata Malaysia sedang menuju ke arah proses demokrasi yang lebih matang, justeru kepimpinan dan tanggungjawab calon politik seperti itu amat diperlukan.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata SPR telah pun memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka markas sementara, sempena pilihan raya berkenaan.

Ia bagi membolehkan pihak SPRM meneliti dan membanteras apa jua perbuatan rasuah berkaitan pengundian. Dari PRK Parlimen Cameron Highlands,  pihak MACC (SPRM) telah sudi dan setuju untuk membuka markas sementara dan menempatkan pegawai-pegawai mereka, untuk tujuan tersebut,” katanya.

Mengenai persiapan hari penamaan itu pula, Azhar berkata semuanya berjalan lancar dengan seramai 65 petugas SPR akan bertugas di pusat penamaan calon, esok.

Pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 Nov ini, manakala pengundian awal diadakan pada 12 Nov. PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu, mewakili Pakatan Harapan dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

— BERNAMA