Home English News Polis Pahang tahan 176 individu sepanjang Op Bersepadu Deepavali 2019

Polis Pahang tahan 176 individu sepanjang Op Bersepadu Deepavali 2019

792
0
SHARE
Ad

KUANTAN: Polis Pahang menahan 176 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Op Bersepadu Deepavali 2019 yang diadakan selama 11 hari bermula 21 Okt lepas.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang Datuk Abdul Aziz Salleh berkata daripada jumlah itu, 26 yang ditahan merupakan suspek yang dikhendaki polis bagi membantu siasatan pelbagai kesalahan jenayah.

Katanya, mereka yang paling ramai ditahan adalah bagi kesalahan narkotik iaitu seramai 128 orang, diikuti jenayah (35 orang), kesalahan imigresen (11 orang) dan di bawah Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (dua orang).

#TamilSchoolmychoice

“Operasi ini diadakan dengan penglibatan semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama kerjasama agensi penguatkuasaan lain dengan tumpuan kepada aspek pencegahan dan menangani jenayah seperti pecah rumah, samun, curi, dadah dan pendatang asing.

“Antara yang dilakukan ialah sekatan jalan raya, serbuan ke lokasi dipercayai berlaku kegiatan jenayah, rondaan sama ada oleh Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan berjalan kaki,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata sepanjang operasi berlangsung, pemeriksaan individu yang dilakukan ialah sebanyak 3,016 orang manakala pemeriksaan kenderaan ialah sebanyak 2,145 buah dengan 534 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Operasi itu akan turut dilaksanakan pada musim cuti perayaan Hari Krismas pada 25 Dis ini dan cuti Tahun Baharu 2020 bagi memastikan keselamatan masyarakat terutamanya yang pulang ke kampung halaman pada hari tersebut, katanya.

“Kita memohon mereka yang ingin bercuti panjang untuk mengisi borang balik kampung sama ada menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau datang ke balai polis terdekat.

“Operasi pencegahan jenayah memerlukan kerjasama daripada masyarakat dan kita berharap tindakan sewajarnya diambil untuk memastikan keselamatan rumah sepanjang ketiadaan mereka termasuk menggunakan kunci tambahan,” katanya.

— BERNAMA