Home English News Najib fail notis usul tangguh perbicaraan kes pinda laporan audit

Najib fail notis usul tangguh perbicaraan kes pinda laporan audit

960
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan notis usul untuk menangguhkan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Notis usul itu difailkan semalam  menerusi firma guaman Tetuan Shafee & Co menamakan Pendakwa Raya dan Arul Kanda sebagai responden.

Dalam notis berkenaan, bekas perdana menteri itu memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan bermula Isnin ini sehingga 29 Nov di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan ditangguh dan memohon bermula pada 13 Jan 2020.

#TamilSchoolmychoice

Turut disertakan dalam notis usul itu afidavit sokongan yang diikrarkan Najib semalam,  yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu.

Najib memberi alasan, beliau dan barisan peguamnya hanya ada sehingga 2 Dis ini bagi membuat persediaan untuk membela diri terhadap pertuduhan lain yang dihadapinya iaitu menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (kes SRC).

Pada 11 Nov lepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Menurut Najib, sekiranya perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini diteruskan ia dibimbangi akan memprejudiskannya berikutan beliau dan pasukan peguamnya  memerlukan masa munasabah serta mencukupi bagi menyediakan pembelaan beliau dalam kes SRC, di mana beliau berdepan dengan pertuduhan yang serius.

Ahli Parlimen Pekan itu antara lain turut menyebut, pasukan peguamnya  pada masa sama terlibat dalam penyediaan bagi satu lagi kes 1MDB yang dihadapi beliau yang telah bermula pada 28 Ogos lepas dan masih berlangsung sehingga kini.

“Berikutan dengan dapatan bahawa prima facie telah berjaya dibuktikan dalam kes SRC pada Isnin lepas, Hakim Mohd Nazlan telah mengarahkan pihak pembelaan untuk memulakan kes pembelaan pada 3 Dis ini. Ini telah menyebabkan pasukan pembelaan saya mempunyai masa terhad iaitu kira-kira dua minggu untuk menyediakan pembelaan termasuk saksi.

“Dengan permulaan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB pada bulan ini, ia akan menghalang saya dan peguam-peguam saya peluang untuk menyediakan kes pembelaan saya secara menyeluruh dan efektif,” katanya.

Najib berkata beliau sesungguhnya percaya bahawa permohonan penangguhan singkat tersebut adalah wajar bagi membolehkan beliau mendapat satu perbicaraan yang adil selaras dengan hak perlembagaannya, bagi kepentingan keadilan dan bagi membolehkan mahkamah dalam kes SRC mengambil kira segala keterangan yang material untuk membuat keputusan adil dalam prosiding tersebut.

Menurut bekas perdana menteri itu lagi, responden-responden tidak akan diprejudiskan dalam permohonan tersebut jika mahkamah membenarkannya.

“Walaupun terdapat sedikit kelewatan dalam memulakan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB, saya percaya bahawa penangguhan itu adalah perlu dan wajar dalam kepentingan keadilan serta ia selari dengan hak saya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti diperuntukkan dalam perlembagaan,” katanya.

Semalam, Hakim Mohamed Zaini memutuskan untuk meneruskan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB tersebut pada Isnin seperti dijadualkan sebelum ini, selepas berpendapat terdapat kesukaran untuk mencari tarikh lain.

Keputusan itu susulan permohonan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada 7 Nov lepas, untuk mengosongkan tarikh perbicaraan berikutan saksi utama yang akan dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut sedang memberi keterangan dalam pemeriksaan balas pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib  didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Febi 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43,  pula didakwa bersubahat dengan Najib, 66,  meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA